Seorang pesakit kanser berusia 29 tahun di China menghadapi tuduhan penyelewengan dana selepas berkongsi gambar flat baharu yang dibelinya.
Lelaki itu, Lan, berasal dari Yichang, Hubei, sebelum ini berusaha mengumpul 900,000 yuan
(RM557,075.70) melalui platform crowdfunding untuk rawatan perubatannya.
Latar Belakang
Lan, yang didiagnosis menghidap limfoma Hodgkin, sejenis kanser jarang ditemui, melancarkan kempen kutipan dana pada 14 Oktober lalu
. Beliau, seorang graduan Universiti Nanjing dan bekas pekerja di sebuah syarikat internet di Guangzhou,
berjaya mengumpul lebih 700,000 yuan (RM433,281.10) dengan bantuan penderma.
Dalam kempen tersebut, Lan menceritakan kesusahan keluarganya yang dibebani hutang besar akibat bil perubatan mendiang bapanya. Rayuan dana itu tersebar luas di kalangan alumni universiti dan media sosial, dengan Lan turut berkongsi video peribadi dan butiran akaun banknya.
Timbulnya Keraguan
Namun, pada 6 November, Lan berkongsi gambar flat baharu bernilai 738,000 yuan (RM456,802.07) dalam sebuah kumpulan sembang, menimbulkan syak wasangka di kalangan penderma.
Lebih memburukkan keadaan, iklan perkahwinan lama Lan mendedahkan keluarganya memiliki pelbagai hartanah, termasuk dua rumah pangsa bernilai sehingga 1 juta yuan (RM618,973) dan harta komersial bernilai lebih 3.8 juta yuan (RM2.35 juta) yang menghasilkan pendapatan sewa tahunan sebanyak 145,000 yuan (RM89,751.09).
Tindakan Platform Crowdfunding
Dalam profil kempen, Lan hanya menyatakan keluarganya memiliki satu hartanah bernilai antara 300,000 hingga 500,000 yuan (RM185,691.90 hingga RM309,486.50) serta sebuah kereta yang katanya sedang dijual.
Berikutan pendedahan ini, platform crowdfunding menamatkan saluran kutipan dana Lan pada 7 November, setelah dia menerima lebih 270,000 yuan (RM167,122.71) daripada 4,536 penyumbang.
Platform itu turut mengesahkan bahawa Lan menyembunyikan maklumat sebenar mengenai kewangan keluarganya. Semua dana yang dikumpul, berjumlah 278,204 yuan (RM172,200.76), akan dipulangkan kepada penderma. Lan juga telah disenaraihitamkan dan dilarang seumur hidup daripada menggunakan platform tersebut untuk sebarang kempen.
Penafian Lan
Lan menafikan menggunakan dana untuk membeli flat baharu dan mendakwa telah mendepositkan 200,000 yuan (RM123,794.60) ke dalam akaun simpanan tetap.
Hukuman Undang-Undang
Walau bagaimanapun, laporan daripada Red Star News tidak menyatakan sama ada Lan akan dikenakan tindakan undang-undang atas dakwaan penyelewengan tersebut.
BACA: Bukan saja didenda, ini hukuman berat yang menanti pesalah langgar lampu merah