Walaupun sudah berada di zaman moden, masih ada segelintir masyarakat yang mempercayai bomoh daripada berusaha untuk dapatkan lebih wang.
Bukan orang biasa yang ditipu tetapi seorang lelaki yang berpangkat ketua jabatan di wilayah Lampung Utara, Indonesia.
Menurut Tribunnews, bomoh penarik wang itu mendakwa mampu menggandakan duit berjumlah 73.5 juta rupiah (RM22,138) menjadi 3 bilion rupiah (RM903,598).
Namun selepas wang tersebut diberikan kepada suspek, ia tidak berganda malah ‘bertukar’ menjadi bantal dan selimut.
Ketua Polis Pesisir Tengah, Komisioner Polis Zaini Dahlan berkata, kes tersebut bermula apabila suspek meramal mangsa akan mendapat wang.
Mangsa dikatakan akan mendapat sebanyak 2 bilion rupiah (RM602,369) jika dia ‘bersedekah’ sebanyak 30 juta rupiah (RM9,035).
Termakan dek kata-kata tersebut, mangsa akhirnya menyerahkan 30 juta rupiah kepada suspek sebelum ia dimasukkan ke dalam beg pakaian untuk disimpan di biliknya sendiri.
Suspek kemudian berpura-pura menjampi beg pakaian dan tidak lama selepas itu suspek menawarkan ganjaran lain yang mampu menggandakan lagi duit mangsa.
“Mangsa kemudian percaya lalu menyerahkan wang tersebut kepada suspek,” kata Zaini.
Tidak terhenti setakat itu, suspek kemudian meminta wang tambahan sebanyak 19.8 juta rupiah (RM5,963) jika mahu mempercepat proses untuk gandakan wang tersebut.
Kononnya si bomoh ini mampu menyingkatkan masa dari 40 hari kepada hanya 20 hari sahaja.
Teruja dengan semua wang yang bakal diperoleh, mangsa menyerahkan suspek semua wang dimintanya.
Pada 5 Ogos lalu, suspek pergi ke rumah mangsa dan melakukan ‘ritual’ di dalam bilik mangsa yang dikunci selama tiga jam.
Usai ‘upacara’ tersebut, suspek memaklumkan semua duit dijanjikan sudah dimasukkan ke dalam beg galas berwarna hitam terletak di atasa katil.
Suspek turut berpesan kepada mansa bahawa beg tersebut hanya boleh dibuka pada keesokan hari sahaja.
Namun selepas memegang beg tersebut, mangsa curiga kerana ia agak ringan dan terkejut kerana isi dalamnya hanta bantal dan selimut.
Selepas disoal, suspek akhirnya mengaku menipu mangsa dengan wang sebanyak 73.5 juta rupiah (RM22,138) itu dikatakan sudah habis digunakan untuk membayar hutang.
Mangsa kemudian membuat laporan polis manakala suspek telah ditahan atas dakwaan menipu.