Sebuah video yang tular di media sosial Indonesia menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal berkuasa elektrik di dalam masjid.
Dalam video yang dikongsi di platform TikTok, motosikal yang dinaiki lelaki tersebut kelihatan melalui ruang solat yang kosong tanpa jemaah ketika itu.
Menurut perakam video, Aify, dia ketika itu sedang berehat di dalam masjid di wilayah Kalimantan Selatan selepas menunaikan solat zuhur.
Tiba-tiba, lelaki tersebut muncul menaiki motosikal, menyebabkan Aify terkejut melihat kejadian tersebut.
“Saya terkejut kerana tidak pernah melihat orang menaiki motosikal di dalam masjid,” katanya.
Aify menambah bahawa setelah diselidik, dia mengetahui bahawa motosikal tersebut digunakan untuk mengangkut kotak air mineral dan pelbagai barang berat lain.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Lebih baik menggunakan troli kerana lebih praktikal, kelihatan lebih sopan dan kosnya lebih murah untuk mengangkut barang. Tetapi, keputusan terletak pada pihak pengurusan masjid. Mungkin mereka mahu mencipta sesuatu yang unik,” komen seorang netizen.
“Mohon izin untuk memberikan penjelasan. Motosikal itu digunakan secara khusus di dalam masjid sahaja. Ia tidak dibawa keluar dan digunakan khas untuk mengangkut kotak air mineral,” kata netizen yang lain.