Seorang warga Malaysia, Jonathan Lim yang bekerja di Singapura, telah membuktikan bahawa dia boleh hidup di pulau tersebut
Dengan hanya berbelanja SG$13.10 (RM44.99) sehari, seperti yang dilaporkan oleh portal berita AsiaOne.
Menurut laporan portal tersebut pada Rabu yang lalu, Jonathan telah memuat naik satu video di akaun TikToknya dengan nama Jonlzx.
Dalam video itu, dia mengajukan soalan apakah orang dewasa dapat hidup di Singapura dengan hanya berbelanja SG$10 (RM34.34) sehari?
Jonathan mula hari dengan sarapan roti bakar mentega kacang yang dimakannya semasa dalam perjalanan ke pejabat. Beliau menyediakan sendiri hidangan tersebut.
Pada waktu makan tengah hari, Jonathan memesan nasi, brokoli, dan ayam rebus di gerai nasi ekonomi dengan harga SG$3.60 (RM12.36).
Kemudian, apabila meninggalkan pejabat kerana berasa lapar dan selepas bersenam, Jonathan membeli roti krim keju cranberry dari kedai roti berhargakan SG$1.50 (RM5.15). Beliau kemudiannya pergi ke pasar raya untuk makan malam.
Dengan berbelanja SG$5 (RM17.17), Jonathan membeli dua paha ayam dan menambah SG$3 (RM10.30) lagi untuk kos pengangkutan.
Secara keseluruhannya, beliau berjaya menguruskan belanja sebanyak SG$13.10 pada hari tersebut.