Lelaki buat part time jual air ketum, pendapatan lebih lumayan dari jual ikan laga

Lelaki buat part time jual air ketum, pendapatan lebih lumayan dari jual ikan laga

Pendapatan lumayan hasil penjualan air ketum menyebabkan seorang penjual ikan laga di Kampung Chabang, Kerteh, di sini memilih untuk menjadikannya sebagai pekerjaan sampingan.

Lelaki berusia 21 tahun itu mengaku memperoleh RM10 hasil penjualan sebungkus air ketum berbanding hanya memperoleh RM5 dengan menjual ikan laga.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kegiatan suspek sejak September tahun lalu itu terbongkar selepas ditahan di rumahnya pada 4.30 petang semalam.

Beliau berkata, serbuan dilakukan pegawai dan anggota Balai Polis Kerteh hasil maklumat dan risikan mengenai aktiviti penjualan air ketum di rumah berkenaan.
“Dalam serbuan itu, kami merampas 28 bungkus air ketum serta empat botol ubat batuk disimpan di dalam peti ais serta beberapa peralatan lain digunakan untuk memproses air ketum.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku menjual air ketum itu sejak September tahun lalu bagi menambah pendapatannya.

“Suspek mengaku air ketum itu dijual RM10 sebungkus dengan pelanggannya terdiri daripada penduduk di kampung sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hanyan berkata, suspek memaklumkan membeli daun ketum itu daripada pihak lain dan memprosesnya sendiri dua kali sebulan untuk dijual.

Katanya, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta bebas daripada pengaruh dadah dan kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.