Berita mengenai Leftenan Muda Chan Ming Youn menjadi viral di laman sosial apabila beliau menjadi satu-satunya lelaki berbangsa Cina
Dia yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Gerup Gerak Khas (GGK) selepas menempuh pelbagai peringkat latihan selama 12 minggu.
Dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook Berita Tentera Darat Malaysia, Lt M Chan Ming Youn dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja
(2 RRD) mendedahkan bahawa minat mendalam dan keinginan untuk berkhidmat kepada negara menjadi asas baginya menceburi bidang ketenteraan.
“Saya Leftenan Muda Chan Ming Youn, berasal dari Kuala Lumpur, berusia 25 tahun.
Saya memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang perakaunan.
“Pada mulanya, saya merupakan anggota 515 askar wataniah dan tidak mempunyai pengetahuan tentang bidang komando. Namun, apabila saya mula berkhidmat dalam 515 askar wataniah, saya terdedah kepada dunia ketenteraan.
“Saya mendapat sedikit ilmu, pengalaman, dan pengetahuan mengenai ketenteraan. Kemudian, saya diperkenalkan dengan bidang komando, dan saya mencabar diri saya untuk menyertai latihan komando dan membuktikan bahawa walaupun saya berasal dari askar wataniah, saya juga boleh menjadi komando,” katanya.
Chan menegaskan komitmen untuk terus berkhidmat kepada negara dan bercita-cita untuk menjadi seorang komando yang berkualiti demi kepentingan rakyat dan tanah air.
“Matlamat saya adalah untuk terus berkhidmat dalam bidang komando ini dan meningkatkan pengetahuan melalui kursus-kursus kepakaran.
“Saya berharap dapat menjadi seorang komando yang berkualiti dan menjaga nama baik komando sepanjang hayat saya,” ujarnya.
Berita tentang kejayaan Chan mendapat pujian daripada netizen yang menganggapnya sebagai sumber inspirasi bagi generasi muda untuk sentiasa berusaha dan tidak berputus asa dalam mencapai impian masing-masing.
Selain itu, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mej Jen Adi Ridzwan Abdullah telah menghadiahkan beret hijau kepada 69 penuntut Kursus Asas Komando sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan mereka.
Mej Jen Adi Ridzwan Abdullah turut mengingatkan pentingnya menjaga keagungan beret hijau sebagai lambang profesionalisme dan kebanggaan Gerak Khas.