Laporan dedah 6 daripada 10 wanita hidap ‘mati putik’. Menghadapi penyakit kronik seperti sakit jantung, diabetes yang mengakibatkan gangguan saraf di bahagian hujung anggota badan seperti jari kaki dan kemaluan serta cemas takut melakukan hubungan seksual antara gejala wanita mengalami mati putik.
Mati putik dikenali sebagai disfungsi seksual wanita (FSD) ini biasanya berkait rapat dengan masalah sakit puan seperti endometriosis dan fibroid. FSD juga disebabkan penyakit kronik atau masalah kesihatan mental lain seperti kemurungan dan kebimbangan.
Menurut Pensyarah Klinikal dan Pakar Perubatan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Serdang, Dr Maryam Sakinah Mohamad Rom, masyarakat sering didedahkan dengan masalah mati pucuk yang dialami lelaki, namun kurang pengetahuan mengenai mati putik perlu dirawat bagi mengelak kesan lebih teruk kepada wanita.
“Mati putik mendorong kepada masalah seksual wanita yang menyebabkan tiada keinginan, rasa sakit ketika melakukan hubungan intim dan sukar mencapai klimaks ketika bersama pasangan.
“Dalam enam bulan pertama, jika wanita mengalami masalah seperti sukar menjalinkan hubungan intim ia dianggap FSD.
“Situasi itu juga menyebabkan antara punca wanita sukar hamil, selain berisiko menghidapi masalah tekanan akibat mati putik,” katanya.
Jejaskan hubungan intim
Mengulas lanjut, FSD juga disebabkan gangguan melakukan hubungan seks dalam keadaan kering dan tidak selesa.
Selain itu, kesakitan seksual atau dispareunia dan vaginismus, yang mana otot lantai pelvis menjadi kejang sehingga menjejaskan hubungan intim antara kerap dilaporkan.
Mati putik sering dianggap masalah yang tidak boleh dirawat atau dipandang remeh.
“Malu dan rendah diri atau kurang pengetahuan mengenai gejala mati putik dalam kalangan masyarakat kini.
“Tiga hingga enam daripada 10 wanita mengalami masalah mati putik dengan tidak menjalani hubungan intim selama enam bulan.
“Malu dan tiada pendedahan mengenai masalah ini mendorong mereka tidak membuat rawatan.
“Sedangkan masalah mati putik boleh dirawat. Jika rawatan yang diberikan betul, masalah FSD ini dapat dirawat dan mereka menjalani kehidupan yang lebih selesa,” katanya.
Ada kaitan dengan penyakit lain
Secara umumnya, mati putik ini berkait dengan beberapa masalah kesihatan lain seperti darah tinggi, jantung, angin ahmar, tiroid dan kanser payudara.
“Masalah fibroid, rahim jatuh atau prolaps uteri dan sindrom Ovari Polisistik (PCOS) juga punca wanita mengalami mati putik. Masalah ini menyebabkan badan wanita mengalami kesan saraf.
“Antara lapan hingga 10 peratus wanita selepas bersalin juga dikatakan tidak mempunyai keinginan melakukan hubungan intim.
“Keadaan ini juga sama dengan mereka yang di peringkat menopaus apabila enam hingga 10 wanita mengalami gangguan hormon sekali gus gagal keinginan untuk bersama,” katanya.
Kaedah atasi mati putik
Dr Maryam Sakinah berkata, masalah mati putik juga boleh menjejaskan kesihatan mental atau psikologi pesakit.
Wanita yang mengalaminya pasti berasa rendah diri, tiada keyakinan diri dan rasa diri tidak sempurna.
“Dari sudut emosi, mati putik memberi kesan mendalam kepada wanita. Di sini penting sokongan orang sekeliling terutama pasangan.
Beliau berkata, pemakanan dan gaya hidup mempengaruhi mati putik yang berkait rapat dengan masalah kesihatan am seperti obesiti.
Pesakit yang melihat masalah mati putik tidak dapat dirawat dan membiarkan ia berlarutan sehingga menjadi punca perceraian.
“Mati putik boleh dirawat. Ramai tidak tahu mengenai cara rawatan yang betul dan mendapatkan rawatan tradisional terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan pakar sakit puan.
“Mengurut badan untuk mengatasi masalah FSD bagi menaikkan rahim bukan rawatan yang betul. Sama juga dengan pengambilan ubat tradisional mengandungi herba sebenarnya boleh mendatangkan risiko jangkitan lain.
“Sesuatu produk kesihatan yang mendakwa mengandungi hormon, contohnya estrogen boleh memberi risiko kepada sakit kanser. Bahan ini banyak terdapat dalam krim menganjalkan payudara,” katanya.
Senaman tingkatkan kesuburan
Beliau berkata, sebaiknya wanita atau pasangan yang mengalami masalah FSD perlu mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat segera daripada pakar perbidanan dan sakit puan), selain khidmat nasihat daripada pakar sakit puan.
“Mereka ini akan dirawat mengikut fasa seperti perlu mengikuti sesi kaunseling. Di sini doktor akan bertanyakan latar belakang pesakit sebelum memberi rawatan termasuk ujian dan ubat kesuburan,” katanya.
Wanita juga boleh membuat latihan senaman kemutan termasuk mereka yang mengalami masalah rahim jatuh.
“Senaman itu dapat menguatkan otot faraj dan membantu meningkatkan kualiti dan hubungan intim suami isteri,” katanya.
INFO:
Tanda mati putik
* Mempunyai penyakit serius jantung dan Parkinson
* Masalah berkaitan ginekologi
* Kesan ubat-ubatan
* Tabiat merokok
* Meminum minuman keras
* Penuaan
Punca dari segi psikologi
* Masalah kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan
* Tekanan dan stres
* Rasa malu
* Rasa bersalah mengekspresikan diri ketika lakukan hubungan seks
* Pernah didera segi emosi dan seksual
Isu berkaitan perhubungan
* Kurang kemesraan bersama pasangan
* Konflik rumah tangga
* Tiada komunikasi kehendak seksual pasangan
* Keganasan seks terhadap pasangan
Kaedah rawatan:
* Lakukan ujian kesuburan
* Dapatkan kaunseling pakar
* Rehat mencukupi
* Elak/ kurangkan minuman keras, dadah dan rokok
* Lakukan senaman kegel
* Senaman Kegel bantu wanita relaks dan ketatkan otot pelvis
* Fahami tubuh pasangan dengan baik
BACA:
‘Geli nak panggil dia sahabat’, Ajak dedah perangai sebenar Shahrol
Altimet ada penyakit kulit serius? Ini penjelasan tuan badan
Kajian dedah M40 pakai petrol Ron95 lebih dua kali ganda dari B40