Lantikan politik kerajaan PN dilantik berdasarkan kelayakan, kepakaran – Menteri

Lantikan politik kerajaan PN dilantik berdasarkan kelayakan, kepakaran – Menteri

Semua lantikan politik dilakukan berdasarkan kelayakan, pengalaman dan kepakaran sebagai sebahagian amalan urus tadbir yang baik, kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz.

Katanya, pelantikan itu perlu melalui proses saringan oleh agensi seperti Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis.

Beliau berkata, ia sejajar Kod Tadbir Urus Korporat 2017.

“Saya ingin menegaskan kerajaan komited dalam memastikan urus tadbir terbaik diamalkan sepanjang masa,” katanya di Dewan Rakyat.

Pembangkang sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan kerana ia mungkin menjadi kaedah memberi ganjaran kepada ahli politik yang setia.

Tengku Zafrul menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung langkah diambil untuk menangani keputusan Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Malaysia.

Lim berkata, walaupun Belanjawan 2021 memberi fokus mengekalkan penarafan kredit melalui penyatuan fiskal, “ia gagal mengatasi penurunan dalam metrik kredit, terutama kestabilan politik dan kegagalan mengamalkan tadbir urus baik dan ketelusan.”

Katanya, ia dapat dilihat melalui penggantian pengarah di GLC dengan lantikan politik.

Pada 4 Dis lalu, Fitch Ratings menurunkan penarafan Malaysia daripada “A-” kepada “BBB+”, dengan unjuran daripada negatif kepada stabil.

Tengku Zafrul berkata, penarafan kredit antarabangsa memberi lebih 220 penarafan negatif sejak awal Mac lalu, termasuk menurunkan penarafan lebih 100 negara, termasuk UK, Hong Kong, Chile dan Laos.

Katanya, walaupun ulasan terhadap penarafan Malaysia tidak bertentangan aliran global semasa, Putrajaya sudah menyuarakan pandangan rasminya bahawa keputusan itu tidak mengambil kira pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang membawa kepada tanda pemulihan ekonomi.

Beliau berkata, Malaysia mengalami penguncupan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih rendah 2.7% pada suku ketiga tahun ini, “yang antara terbaik di Asean” berbanding penguncupan 17.1% pada suku kedua.

Tengku Zafrul berkata, subsidi upah bagi 2.8 juta pekerja turut mengurangkan kadar pengangguran daripada 5.3% pada Mei lalu kepada 4.7% Oktober.

Katanya, Fitch Ratings mengunjurkan pertumbuhan Malaysia pada 6.7% tahun depan, sejajar unjuran kerajaan, yang menunjukkan keyakinan dalam ekonomi akan berkembang semula

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/15/lantikan-politik-dipilih-berdasarkan-kelayakan-pengalaman-kata-menteri/

COMMENTS