Selepas beberapa tahun bergelut dengan penyakit saraf, vokalis kumpulan The Real Spin,
Muhammad Khalis Md Shari, 35, kini bersedia untuk kembali aktif dalam dunia seni.
Meskipun pergerakannya masih terbatas, Khalis meluahkan rasa teruja untuk kembali membuat persembahan dan menghiburkan peminat.
“Masalah saraf sebelum ini menyebabkan saya sukar bergerak, jadi saya terpaksa menghentikan kerjaya nyanyian.
“Tapi Alhamdulillah, sekarang saya sudah boleh menyanyi semula.
Walaupun tidak boleh terlalu aktif seperti dulu, kesihatan saya kini berada pada tahap 70 peratus pulih, dan saya sudah tidak perlu bergantung kepada walker atau tongkat untuk berjalan,” katanya kepada mStar.
Menurut Khalis, sokongan daripada dua adiknya, penyanyi Tajul Arif dan Beby Acha, memainkan peranan besar dalam membantunya bangkit semula.
Sebagai langkah baru dalam kariernya, Khalis bakal melancarkan single terbaharu berjudul Suara Rindu, selepas kali terakhir tampil dengan lagu Di Pintu Syurga tahun lalu.
Perkembangan positif ini pastinya menjadi khabar gembira buat para peminat yang merindui suaranya di pentas hiburan.
BACA: Siapa sangka pen bernilai RM75 yang rakam semua bukti skandal rasuah Sabah