“Pelamin anganku musnah”, itulah pengalaman yang terpaksa dilalui oleh seorang gadis apabila gagal berkahwin dalam tempoh berbaki seminggu.
Mengundang sebak, pernikahan tersebut rupa-rupanya terpaksa dibatalkan selepas gadis berkenaan mendapati tunangnya telah berlaku curang dengan wanita lain.
Tidak hanya meluangkan masa bersama, tunang kepada gadis berkenaan turut dirakam ketika sedang memasuki sebuah hotel murah bersama wanita lain.
Kecewanya bukan kepalang, gadis itu tidak menyangka tunangnya sanggup bertindak sedemikian sedangkan persiapan majlis perkahwinan mereka hampir selesai.
Mana tidaknya, baju persandingan mereka sudah siap dijahit dan pelamin pasangan berkenaan juga kelihatan telah didirikan di rumah bakal pengantin perempuan.
Sangat menyedihkan, gubahan hantaran juga sudah siap tersusun untuk majlis yang sepatutnya dilangsungkan secara besar-besaran pada bulan September ini.
Telah berkenalan selama lima tahun sebelum membuat keputusan untuk berkahwin, gadis berkenaan menganggap bahawa usahanya selama ini hanya sia-sia.
@nurasilalola 5 Tahun yang sis2 💔 #fyp #explorepage #broken ♬ original sound – 𝙍𝙞𝙠𝙤 𝙇𝙮𝙧𝙞𝙘𝙨 – 𝙍𝙞𝙠𝙤 𝙈𝙪𝙨𝙞𝙘𝙨
Menyita perhatian ramai, pengalaman tersebut dikongsi oleh gadis berkenaan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, @nurasilalola.
“Sebabkan nafsu, kau hancurkan semua yang kita usahakan selama lima tahun. Bermati-matian saya percaya awak sibuk kerana mahu menghalalkan saya.
“Hancur-sehancurnya hati saya, seminggu lagi majlis perkahwinan kita! Hari-hari saya tak dapat nak tahan sebak. Setiap saat tertanya apa salah saya,” luahnya.
Tular di media sosial, gadis dikenali sebagai Nurasila itu turut berkongsi beberapa tangkap layar pesanan mesej yang dipercayai dikirimkan oleh bekas tunangnya itu.
Menerusi tangkap layar tersebut, kelihatan bekas tunangnya menyangkal segala dakwaan dalam usaha memujuk Nurasila untuk tidak membatalkan majlis.
Namun, Nurasila nampaknya sudah terlalu kecewa dan tawar hati untuk mempercayai kata-kata mahupun mengangkat panggilan telefon bekas tunangnya itu.
“Kau cakap pergi meeting. Meeting apa dalam hotel? Tuhan sahaja tahu apa aku rasa. Tak perlu telefon. Sekarang apa aku nak cakap dekat keluarga tentang perangai kau.” Tulis gadis itu.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok menasihati agar gadis itu meneruskan kehidupan selain bersyukur telah diberikan petunjuk dari Ilahi.