Lagi bantahan Menteri hanya kuarantin 3 hari, kali ini persatuan doktor pula

Lagi bantahan Menteri hanya kuarantin 3 hari, kali ini persatuan doktor pula

Akademi Perubatan Malaysia berkata pihaknya merasa terganggu dengan pengenalan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang dikeluarkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba melalui Warta Persekutuan.

Perintah itu menyatakan menteri kabinet yang kembali dari lawatan rasmi ke luar negara hanya perlu dikuarantin selama 3 hari dan bukan 10 hari kuarantin wajib untuk mereka yang masuk ke dalam negara.

“Kami menggesa kerajaan untuk membatalkan Perintah Pengecualian itu dan – sehinggalah ada bukti ilmiah yang menunjukkan sebaliknya – maka (kerajaan) perlu melaksanakan kuarantin 10 hari untuk semua,” kata mereka.

Akademi Perubatan Malaysia, merangkumi 11 kolej dan 15 bahagian, merupakan badan berdaftar mewakili pakar-pakar perubatan Malaysia.

Kata akademi itu, mereka juga sebulat suara membantah Perintah Pengecualian Menteri Kesihatan dan juga rancangan Dr Adham untuk meluaskan peraturan kuarantin selama 3 hari kepada semua pelancong lain – ahli perniagaan dan orang awam yang keluar masuk negara.

“Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa semua prosedur operasi standard (SOP) perlu berdasarkan pada sains.

“Tempoh kuarantin untuk pelancong masuk ditetapkan pada 10 hari berdasarkan penelitian yang menunjukkan bahawa risiko penularan sangat rendah (kurang 1 peratus) selepas 10 hari dengan melakukan pemantauan dan ujian.

“Tempoh inkubasi untuk Covid-19 rata-rata lima ke enam hari tetapi boleh selama 14 hari. Oleh itu, tiga hari tidak mencukupi untuk mengesan gejala. Perlu ada penjelasan berdasarkan bukti kesihatan awam untuk keputusan kerajaan mengurangkan hari kuarantin,” kata Akademi Perubatan Malaysia lagi.

Bagaimanapun Dr Adham menegaskan tempoh kuarantin sepuluh hari telah menjadi penghalang kepada para pelabur, dan juga orang kenamaan asing yang ingin datang ke Malaysia, maka kuarantin tiga hari “untuk memastikan negara dapat membuka ekonomi.”

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562557