Kucing peliharaan sering dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga kerana mereka disayangi dan dijaga dengan penuh kasih.
Walau bagaimanapun, kucing juga mudah hilang dan sukar dijejak, menyebabkan kebimbangan yang mendalam bagi tuannya.
Namun, kini pemilik kucing tidak perlu risau kerana melalui perkongsian Arif Haiqal di laman X,
beberapa tip telah didedahkan untuk mencari kucing yang hilang atau melarikan diri.
Salah satu teknik yang disyorkan adalah amalan yang sering digunakan oleh masyarakat Jepun yang terbukti berkesan.
1) Cara orang Jepun
Menurut rakyat Jepun, cara efektif untuk memanggil si bulus kesayangan anda pulang ke rumah adalah dengan meminta pertolongan kucing lain di kawasan sekitar rumah anda.
Ya betul, bersembang dengan kucing liar tersebut! Boleh cakap begini: “Awak, nak minta tolong sikit boleh, kucing saya nama dia Tompok hilang semalam, bantu saya cari dia okay?
“Kalau jumpa dia, suruh dia balik cepat please, saya risau ni.”
Sambil merayu, anda boleh juga membelai kucing berkenaan.
Rata-rata yang mencuba teknik ini termasuk Arif mengakui ia membuahkan hasil. Kucing peliharaan mereka akan pulang ke rumah dalam beberapa hari berikutnya, seolah-olah menerima mesej yang disampaikan.
Tidak kurang juga mereka yang membuat rumusan bahawa kucing sebenarnya boleh memahami bahasa percakapan manusia.
“Saya pernah cakap dekat kucing saya, minta tolong dia bunuh cicak dekat rumah ni sebab dah banyak sangat.
“Esok pagi saya bangun, terus nampak beberapa ekor cicak dah mati kena serang dengan kucing saya tu. Sejak hari tu, saya yakin kucing boleh faham apa kita cakap,” ujar seorang netizen.
2) Bawa makanan kegemaran
Boleh cuba bawa makanan kegemaran si bulus untuk mengumpannya keluar dari tempat persembunyian.
Alternatif lain, anda boleh bawa mainan kesukaan si bulus agar dapat membantu menghilangkan rasa takutnya.
3) Panggil nama si bulus dengan suara lembut
Kucing juga mempunyai emosi seperti manusia, pada hari tertentu mereka boleh merajuk dan sengaja melarikan diri sebentar.
Jadi anda sebagai tuan yang memahami, boleh cuba memanggil si bulus dengan suara manja untuk melembutkan semula hatinya.
4) Cari di pusat perlindungan haiwan
Jika kucing anda masih belum ditemui selepas berhari-hari, cuba cari di tempat perlindungan haiwan berhampiran rumah anda.
Boleh jadi kucing anda dianggap kucing liar dan sudah ditangkap untuk dihantar ke shelter.