Ku Nan buat rayuan, pelaksanaan hukuman ditangguh

Ku Nan buat rayuan, pelaksanaan hukuman ditangguh

Bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengemukakan rayuan berhubung hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta dalam sabitan kes rasuah RM2 juta.

Peguam bela utamanya Tan Hock Chuan hari ini mengesahkan bahawa mereka telah mengemukakan Notis Rayuan semalam.

“Notis Rayuan dikemukakan semalam. Ia dilakukan melalui e-filing (dalam talian),” kata peguam itu kepada media hari ini.

Semalam, Tan dilaporkan berkata bahawa anak guamnya akan mengemukakan Notis Rayuan untuk mengketepikan keputusan bersalah serta hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mendapati ahli parlimen Putrajaya itu bersalah dalam kes rasuah RM2 juta.

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan ketika menjatuhkan keputusan itu semasa prosiding mahkamah terbuka, semalam, bagaimanapun, membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Ahli Parlimen Putrajaya berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/556175?

COMMENTS