Zaman sekarang anak muda ramai berhenti melanjutkan pelajaran kerana terpedaya dengan janji manis konon main media sosial mampu menjana pendapatan.
Tapi tidak seperti orang lama yang kebanyakan berhenti sekolah kerana keluarga tidak berkemampuan.
Begitulah nasib komposer terkenal Saari Amri yang mendedahkan dia terpaksa berhenti sekolah di saat usia baru menginjak 13 tahun kerana kesempitan hidup keluarganya.
Menurut Harian Metro, Saari mendedahkan di zaman sekolahnya, dia sering mendapatkan markah cemerlang semasa peperiksaan.
Selepas ibu bapanya berpisah, Saari dibesarkan oleh nenek di Kelantan dalam keadaan serba serbu kekurangan.
“Saya bijak dalam pelajaran dan selalu dapat markah A apabila peperiksaan. Namun, saya terpaksa berhenti sekolah ketika usia 13 tahun kerana dihimpit kemiskinan hidup di kampung.
“Di sekolah, saya selalu dihina kerana miskin sebab tidak mampu beli baju dan kasut baharu macam orang lain.
“Jadi, saya rasa malu nak ke sekolah kerana memakai kasut yang koyak,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Kerja sebagai buruh demi tanggung keluarga
Mahu mencabar diri, Saari di usia muda memilih untuk membawa diri dengan berhijrah ke Singapura bagi bekerja sebagai buruh kontrak.
Dengan pendapatan lumayan, sekali gus Saari mampu menanggung keluarganya di kampung.
“Ujian kehidupan yang saya lalui sangat mencabar diri untuk sampai ke tahap senang dan selesa sebagaimana sekarang.
“Saya budak kampung yang miskin, tidak belajar tinggi dan sudah bekerja kasar sejak remaja.
“Jujur diakui, kesusahan hidup dialami itu banyak mengajar saya menghargai rezeki dan apa yang sudah dimiliki ketika ini.
“Sebab itu, saya juga cepat berasa kasihan dan mudah simpati kepada orang-orang yang hidup susah,” tambahnya.
Pada masa sama Saari mendedahkan kerana pernah merasai hidup susah maka sukar untuk dia menolak apabila ada orang datang meminta pertolongan.
“Saya sukar nak tolak orang yang datang minta bantuan sebab saya pernah hidup miskin.
“Jadi, untuk pengalaman itu juga, saya pastikan anak-anak dapat hidup selesa dan tidak melaluinya. Sedih apabila kita dihina orang,” katanya.
Antara lagu ciptaan Saari adalah Madah Berhelah, Penantian, Pelamin Anganku Musnah, Lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Gerimis Mengundang dan banyak lagi.