KKM umum bakal denda RM10000 penjual air kopi, ini punca ramai nak tahu

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Beberapa peniaga menawarkan ‘air kopi luar biasa’ dengan menambah bara arang ke dalam minuman kepada pelanggan.

Walau bagaimanapun, trend ‘air kopi joss’ ini dianggap sebagai pelanggaran di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985

Dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM umum bakal denda RM10000 penjual air kopi, ini punca ramai nak tahu

Berdasarkan laporan yang diperoleh, KKM memberitahu bahawa mana-mana pemilik premis makanan yang terbukti menyajikan kopi bersama bara arang mungkin dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tidak melebihi dua tahun sekiranya terbukti bersalah.

“Kopi yang telah disediakan untuk diminum adalah tertakluk di bawah Peraturan 269A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan peraturan tersebut hanya membenarkan penambahan gula, dekstrosa, glukosa atau madu, susu, krimer, makanan lain, dan bahan perisa yang dibenarkan. Arang tidak dianggap sebagai makanan,” menurut kenyataan KKM kepada Bernama.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons terhadap laporan mengenai trend minum kopi dengan penambahan bara arang di sebuah kedai makan.

Air ‘Kopi Joss’ yang terkenal di Indonesia, yang dicampur dengan bara arang, dikatakan mempunyai rasa unik dan disebut boleh membantu menyingkirkan toksin dari badan.

Namun, pakar kesihatan mengeluarkan kebimbangan bahawa minum minuman seumpama itu boleh membawa kepada kesan buruk, termasuk risiko kanser, kerana sifatnya yang karsinogenik. Terdapat juga kekhawatiran bahawa usus boleh tersumbat jika minuman ini diambil secara kerap dan untuk tempoh yang lama.

KKM menegaskan bahawa bara arang yang dimasukkan secara langsung ke dalam kopi berbeza dengan ‘arang diaktifkan’ yang biasanya digunakan dalam industri makanan kerana telah melalui proses pemurnian dan diiktiraf selamat untuk digunakan.

“Bagaimanapun, arang panas yang dimasukkan langsung ke dalam kopi, seperti yang dilaporkan, tidak dapat dipastikan sama ada telah diproses dengan betul atau selamat untuk dimakan atau diminum begitu sahaja kerana mungkin mengandungi unsur benda asing atau bahan toksik lain.

“Oleh itu, sebagai tindakan pemantauan, siasatan akan dijalankan setelah KKM menerima maklumat penuh mengenai premis makanan yang terlibat,” kata KKM.

KKM juga mengajak orang ramai yang ingin membuat aduan terhadap premis makanan yang disyaki melanggar peraturan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan yang berkaitan, supaya melapor kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

BACA: “Aku tergerak hati nak pinjam laptop isteri, aku ternampak folder ‘Loving U’, aku ingat gambar aku dan dia, rupa ini yang dia sembunyikan!”