Kisah tragis pesakit Covid-19, bila tanya siapa harus disaman barulah dapat katil untuk rawatan

Kisah tragis pesakit Covid-19, bila tanya siapa harus disaman barulah dapat katil untuk rawatan

Cik Yong, 49, disahkan positif Covid-19 pada 6 Jan selepas menjalani ujian saringan pandu lalu.

Sejak didiagnos, lima anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya turut disahkan positif, termasuk ibu bapa mentua yang kedua-duanya berusia 77 tahun.

Malangnya beliau mendakwa mereka tertunggu-tunggu panggilan daripada kementerian kesihatan untuk nasihat mengenai apa yang patut dilakukan.

Keluarga Yong antara ramai rakyat Malaysia yang dibelenggu masalah ini – mereka tidak sihat namun tidak dibawa ke hospital untuk dikuarantin atau rawatan perubatan.

Bulan lalu, ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menceritakan masalah dihadapi sistem kesihatan awam dalam menghantar pesakit ke hospital, terutama di Lembah Klang.

Mengulas aduan mengenai waktu menunggu ambulans yang lama, beliau menggesa mereka yang sah positif supaya mengasingkan diri di rumah sementara menantikan arahan selanjutnya daripada kementerian.

“Saya faham kementerian kesihatan terbelenggu dengan jumlah kes yang tinggi, namun mereka perlu melakukan sesuatu,” kata Yong kepada FMT.

“Mereka perlu mengemas kini prosedur kerana ini sangat tidak adil.”

Kesnya diketengahkan ahli Parlimen Selangor Rajiv Rishyakaran, yang berkata seorang pengundi di Bukit Gasing menghubungi pejabatnya pada 8 Jan.

“Kami dimaklumkan seorang pegawai akan menghubungi keluarga itu tidak lama kemudian. Malangnya, sehingga Sabtu mereka masih tidak menerima sebarang panggilan,” katanya.

Yong berkata, selain anak perempuannya yang asimtomatik, semua orang lain di rumah itu menunjukkan gejala termasuk batuk, sakit badan dan demam panas.

Ibu dan bapa mentuanya lebih teruk lagi apabila turut mengalami cirit-birit serta darah tinggi.

“Keadaan bapa mentua saya betul-betul teruk, malah sampai satu peringkat beliau tidak mampu fokus langsung dan tidak dapat menjawab soalan,” katanya.

Menurutnya, beliau akhirnya membawa ibu bapa mentuanya ke hospital Sungai Buloh pada Ahad.

“Hospital swasta enggan menerima mereka dan hospital kerajaan pula penuh. Akhirnya saya bertanya siapa yang patut disaman jika sesuatu berlaku kepada mereka. Barulah hospital berkata ada dua katil yang boleh disediakan untuk mereka.”

Susulan itu, Rajiv menggesa tindakan serius.

“Jika pusat kuarantin penuh, sekurang-kurangnya hubungi pesakit Covid mengenai apa yang perlu dilakukan,” katanya.

FMT cuba menghubungi kementerian kesihatan berhubung isu ini. – FMT

COMMENTS