Khazanah catat untung tertinggi dalam sejarah sewaktu zaman kerajaan PH

Khazanah catat untung tertinggi dalam sejarah sewaktu zaman kerajaan PH

Khazanah Nasional Bhd mencatatkan keuntungan operasi untuk tahun kewangan 2019 sebanyak RM7.36 bilion, tertinggi dalam sejarahnya, berbanding kerugian operasi RM6.27 bilion pada tahun 2018.

Hasil daripada pelupusan meningkat kepada RM9.9 bilion berbanding RM1.4 bilion manakala rosot nilai berada pada RM4.9 bilion berbanding RM7.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Dana pelaburan strategik kerajaan itu juga mengumumkan dividen sebanyak RM1 bilion untuk tahun 2019.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata keuntungan operasi tertinggi dalam sejarahnya itu disumbangkan oleh hasil pelupusan yang lebih tinggi dan rosot nilai lebih rendah serta pulangan portfolio lebih mantap.

Katanya, Khazanah telah mencapai kemajuan ketara dalam pelbagai bidang, termasuk menjana pulangan sejajar dengan sasaran jangka panjang bagi Dana Komersil seliaannya, menyumbang pulangan kewangan dan strategik bagi aset dalam Dana Strategik seliaannya, serta mengukuhkan kedudukan kewangannya menerusi pengurangan perbelanjaan operasi (OPEX) dan pembayaran balik hutang.

“Prestasi kami pada tahun 2019 dicapai dalam keadaan persekitaran global yang tidak pasti yang menyaksikan proses Brexit yang berpanjangan serta perang perdagangan AS-China yang kian sengit.

“Hal ini menjadi lebih mencabar akibat persekitaran pulangan rendah yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan. Walaupun berhadapan cabaran ini, kami berjaya mencatatkan kemajuan yang ketara dalam memenuhi mandat kami untuk membangunkan kekayaan jangka panjang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sayap pelaburan kerajaan itu yang dijadualkan mengadakan sidang media pada hari ini untuk mengumumkan prestasi kewangannya bagi tahun 2019 terpaksa ditangguhkan selepas salah seorang pengurusan kanannya disahkan dijangkiti COVID-19.

Khazanah turut mengukuhkan kedudukan kewangannya hasil daripada perbelanjaan yang dikurangkan sebanyak 28.2 peratus kepada RM484 juta berbanding RM674 juta pada tahun 2018. Ini adalah bersamaan dengan 35 mata asas (bps) sebagai peratusan aset berbanding dengan 50 bps pada tahun sebelumnya.

Jumlah hutang telah berjaya dikurangkan sebanyak 17.0 peratus kepada RM45.8 bilion daripada RM55.2 bilion pada tahun 2018, manakala lindungan Nilai Aset Boleh Tunai meningkat kepada 3.0 kali daripada 2.4 kali.

Dana Komersil, telah menghasilkan kadar pulangan wajaran masa 8.3 peratus, melepasi kadar pulangan sasaran jangka panjang bersamaan dengan Indeks Harga Pengguna Malaysia (CPI) + 3% pada asas lima tahun. Nilai Aset Bersih (NAV) Dana Komersial berada pada RM73.1 bilion setakat 31 Disember 2019.

Setelah setahun melaksanakan aktiviti pengimbangan semula portfolionya, Khazanah telah mula mencatatkan kejayaan awal dalam mempelbagaikan Dana Komersil di bawah mandat baharunya dan berada pada kedudukan yang baik untuk terus meningkatkan aktiviti pelaburannya pada tahun 2020.

Khazanah berkata, pada 2019, Dana Strategiknya pula turut mencapai hasil kewangan dan strategik untuk aset tertentu meskipun pasaran lembap.

“Khazanah telah melaksanakan libat urus secara berterusan dengan kerajaan untuk memperkukuhkan landskap pengawalseliaan, memperbaharui dan memperkuatkan barisan kepimpinan di syarikat-syarikat pelaburannya, serta memulakan inisiatif penstrukturan bagi meningkatkan prestasi kewangan dan merealisasikan nilai,” katanya.

Dana Strategik menjana pulangan keseluruhan sebanyak 2.9 peratus berbanding kadar pulangan yang disasarkan bagi hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) untuk tempoh 10 tahun atas asas lima tahun.

Khazanah juga, katanya, berjaya mencapai penyelesaian berkaitan penstrukturan semula tol PLUS , yang menyaksikan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi lebuh raya milik pengendali tol berkenaan serta menawarkan penjimatan kepada Kerajaan berjumlah RM42 bilion untuk tempoh konsesi baharu yang berakhir pada tahun 2058.

Langkah berkenaan juga menyaksikan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pemegang saham PLUS.

“Penstrukturan semula ini kini berada di peringkat perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi meminda perjanjian sedia ada,” katanya.

Meninjau ke hadapan, Shahril berkata, tahun ini adalah tahun yang sangat mencabar memandangkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan ditambah pula dengan penularan COVID-19.

Katanya, sungguhpun pakej rangsangan ekonomi yang baru diumumkan amat dialu-alukan, pihaknya tetap bersiap sedia untuk menghadapi suatu tempoh kelembapan dalam ekonomi global.

“Persekitaran yang tidak menentu akan memberi kesan kepada negara dan syarikat. Bagaimanapun, kami yakin bahawa portfolio dan strategi kami yang pelbagai berada dalam keadaan kukuh, sungguhpun kami sedar bahawa kejayaan yang telah dicapai pada tahun 2019 sukar untuk diulangi.”

“Khazanah akan terus memberi tumpuan untuk mempelbagaikan lagi Dana Komersil, sambil bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan lagi rangka kerja pengawalseliaan yang relevan, memasukkan pertimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam semua aktiviti pelaburan serta mempromosi inisiatif rekaan nilai dalam kalangan syarikat-syarikat pelaburan kami,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/03/661176/khazanah-catat-untung-operasi-tertinggi-dalam-sejarah-rm736-bilion

COMMENTS