Kesemua Adun Perak termasuk pembangkang terima peruntukan sama

Kesemua Adun Perak termasuk pembangkang terima peruntukan sama

Kerajaan negeri Perak hari ini, mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dengan membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM11.8 juta.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, berkata peruntukan itu selari dengan titah hasrat Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang prihatin untuk meringankan beban rakyat.

“Sultan Nazrin Muizzuddin pada Istiadat Pelantikan Menteri Besar menitahkan supaya kerajaan negeri merintis jalan bagi mengurangkan ketegangan dan perbalahan politik.

“Ini kerana ia hanya akan memangsakan kehidupan rakyat. Sesungguhnya, keprihatinan Tuanku terhadap untung nasib rakyat, menjadi ibrah dan panduan kepada saya serta seluruh lapisan pentadbiran.

“Ia untuk memastikan kerajaan hari ini sentiasa menegakkan prinsip keadilan, membina kerukunan serta berusaha sedaya mungkin memenuhi keperluan ekonomi dan sosial rakyat,” katanya ketika membentangkan belanjawan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berharap susulan ketetapan itu semua ADUN dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan juga bersetuju semua ADUN dijemput hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Katanya, belanjawan ini adalah belanjawan ‘kita’ yang bermaksud seluruh rakyat negeri Perak.

“Dalam kalangan kita, pastinya wujud kepelbagaian cita rasa. Dalam kepelbagaian itu, marilah sama-sama kita canai suatu bentuk kebersamaan hasrat iaitu hasrat untuk memacu warga dan negeri tercinta ini ke mercu kejayaan,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/765742/semua-adun-perak-termasuk-pembangkang-terima-peruntukan-rm200000

COMMENTS