Kes tangguh, Hakim minta Zahid jangan hadir mesyuarat seminggu sebelum perbicaraan

Kes tangguh, Hakim minta Zahid jangan hadir mesyuarat seminggu sebelum perbicaraan

Selepas perbicaraan tertangguh lagi untuk kesekian kalinya, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah mengarahkan peguam bela agar menasihatkan tertuduh, Ahmad Zahid Hamidi, tidak menghadiri sebarang mesyuarat seminggu sebelum perbicaraan berlangsung.

Teguran itu dibuat Sequerah ketika hakim terbabit bersedia untuk mendengar perbicaraan membabitkan presiden Umno itu pagi ini.

Ahmad Zahid berdepan pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu tidak dapat menghadiri perbicaraan hari ini selepas menjadi kontak rapat kepada salah seorang anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang disahkan positif Covid-19.

Mereka pada Jumaat lalu menghadiri mesyuarat di Janda Baik, Pahang.

“Boleh saya minta anak guam kamu tidak menghadiri sebarang mesyuarat seminggu sebelum kes? Jika tidak, kes ini tidak dapat dihabiskan dan akan berterusan.

“Sebelum ini saya tangguhkan kes ini atas alasan yang sama. Dan masalah ini berterusan. Kita tidak boleh membuang masa lagi.

“Saya harap kamu nasihat dia supaya tidak menghadiri mesyuarat seminggu sebelum kes di mahkamah sebab perbicaraan pun penting. Perbicaraan perlu menjadi keutamaan berbanding perkara lain,” kata Sequerah.

Terdahulu, peguam pembela Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini kerana ahli politik terbabit menjadi kontak rapat kepada salah seorang ahli mesyuarat MT Umno.

“Pada 19 Feb, Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat Umno di Janda Baik, Pahang. Selepas meeting (mesyuarat) Datuk Johan (Abd Aziz) didapati positif Covid-19.

“Dia diuji pada Sabtu dan keputusan keluar pada Ahad dan didapati positif.

“Anak guam saya menjadi kontak rapat dan kini dalam kuarantin. Maka, saya minta mahkamah tangguhkan perbicaraan ini ke tarikh baru,” kata Hamidi.

Johan merupakan bekas Adun Semenyih dan menyertai MT Umno melalui kapasiti ahli yang dilantik.

Menjawab soalah Sequerah, Hamidi memberitahu anak guamnya sedang memakai gelang oren dan dikehendaki menjalani kuarantik selama 10 hari.

Sebelum menangguhkan perbicaraan hari ini Sequerah turut meminta pihak pembelaan menyerahkan laporan keputusan ujian Covid-19 Johan di mahkamah sebagai bukti dia memang positif.

Ahmad Zahid, 68, yang juga ahli parlimen Bagan Datuk, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan sebelum ini ditangguh beberapa kali pertama pada tahun lalu kerana ada kaitan dengan Covid-19 sebelum kali terakhir pada 27 Jan lalu ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan mulai 13 Jan.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/563876