Kes rasuah RM2 juta Ku Nan, 21 Disember keputusan

Kes rasuah RM2 juta Ku Nan, 21 Disember keputusan

Nasib bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berdepan pertuduhan rasuah RM2 juta akan diketahui 21 Dis ini.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan sepatutnya mengumumkan keputusan kes itu pada 17 Nov ini, bagaimanapun tarikh bagi prosiding tersebut dilapangkan susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dari 9 Nov hingga 6 Dis.

“Tarikh baharu keputusan itu dimaklumkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas kepada pihak pendakwaan dan pembelaan menerusi e-mel hari ini,” kata Julia yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika dihubungi pemberita menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Tan Hock Chuan.

Perbicaraan kes itu bermula pada 2 Julai tahun lepas dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

Pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan lebih 80 barang kes termasuk dokumen permohonan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) untuk pembangunan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan, cek RM2 juta, penyata bank syarikat, penyata tahunan UMNO dan dokumen anggaran perbelanjaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Pengarah Urusan AKSB Tan Sri Chai Kin Kong.

Pada 30 Jun lepas, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil empat saksi dalam prosiding yang berlangsung selama empat hari bermula 4 Mac dengan Tengku Adnan sebagai saksi pembelaan pertama.

Saksi lain ialah bekas Setiausaha Politik Tengku Adnan iaitu Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam Datuk Zakaria Dullah dan bekas pengarah jentera PRK Sungai Besar Datuk Rizalman Mokhtar.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.

Tengku Adnan,yang dikenali sebagai Ku Nan, memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi dan prosiding pembelaannya berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 Jan dan 5 Mac lepas.

Tengku Adnan, 69, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/550686

COMMENTS