Kes Najib tiada campur tangan dari Umno dan PN – Zahid

Kes Najib tiada campur tangan dari Umno dan PN – Zahid

Umno dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mencampur tangan proses penghakiman Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah Najib Razak membabitkan dana SRC International, kata Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam, Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana didapati bersalah atas 7 pertuduhan membabitkan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB itu.

“Umno/BN menanggapi penghakiman kes SRC International Najib sebagai suatu yang perlu diberi ketelitian dan perhatian serius.

“Umno/BN akan menanggani keputusan penghakiman ini dengan cara terbaik, di samping mempertahankan setia kawan bersama sekutu-sekutu dalam BN, Muafakat Nasional dan PN,” katanya dalam catatan di Facebooknya malam ini.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan penyalahgunaan kuasa atau tambahan 5 tahun penjara, jika gagal membayar denda itu.

Bekas perdana menteri berusia 67 tahun itu turut dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap satu daripada 3 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang.

Tetapi, hukuman penjara itu akan dijalankan serentak, bermakna Najib hanya perlu dipenjarakan 12 tahun.

Hakim turut membenarkan permohonan pasukan pembelaan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan Najib di Mahkamah Rayuan.

Tetapi, beliau menaikkan jumlah jaminan daripada RM1 juta kepada RM2 juta dengan 2 penjamin.

Hari ini, Zahid berkata, Umno menghormati keputusan Nazlan, tetapi penelitian perlu dibuat terhadap kemungkinan berlaku kekhilafan dari sudut perundangan dan fakta.

Katanya, proses pengadilan di Mahkamah Tinggi sudah selesai dan Najib mempunyai hak untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan serta hukumannya.

“Umno/BN akan memastikan proses mendapat keadilan di semua peringkat itu berjalan lancar dan benar-benar bebas serta adil tanpa wujudnya unsur-unsur campur tangan oleh mana-mana pihak.”

Beliau berkata, Umno akan terus memberi penerangan kepada ahli berhubung kedudukan sebenar kes Najib.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/29/umno-pn-tak-campur-tangan-kes-najib-kata-zahid/

COMMENTS