Kes dana arak untuk sekolah, bekas Menteri Pendidikan balun ahli parlimen Amanah

Oleh MHDAILY

Seorang pemimpin PKR hari ini meminta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu,

untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Sepang dan Ketua Wanita AMANAH.

Permintaan ini dibuat berikutan kehadiran Aiman Athirah pada sebuah majlis anjuran sebuah sekolah vernakular yang bertujuan

mengumpul dana persekolahan, yang turut melibatkan penajaan daripada syarikat arak.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menyifatkan kehadiran tersebut sebagai insiden memalukan yang merosakkan imej AMANAH dan rakyat Parlimen Sepang yang memilihnya.

Kes dana arak untuk sekolah, bekas Menteri Pendidikan balun ahli parlimen Amanah

“Islam rahmah yang dibawa oleh AMANAH tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah.

“Jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau seharusnya meletakkan jawatan secara sukarela sebagai Ahli Parlimen dengan penuh hormat dan juga meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita AMANAH,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Maszlee juga menyatakan bahawa tindakan Aiman Athirah untuk meletakkan jawatan akan menjadi pengajaran kepada Ahli Parlimen AMANAH yang lain untuk lebih berhati-hati dan mematuhi prinsip rahmah yang sebenar.

Dalam pada itu, Maszlee turut meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, yang menempelak dan memperlekeh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung isu promosi syarikat arak dalam acara membabitkan sekolah.

Katanya, tindakan menteri berkenaan adalah selaras dengan keputusan Kabinet, falsafah pendidikan kebangsaan, pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) yang ada, dan semangat Madani yang dibawa oleh kerajaan, iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan.

“Membenarkan syarikat arak dipromosikan secara besar-besaran dalam acara yang melibatkan sekolah adalah tindakan membuka ruang kepada promosi industri tidak sihat lain dalam pendidikan, seperti industri tembakau, vape, perjudian, dan hiburan malam.

“Guan Eng tidak perlu melihat isu promosi arak dalam acara sekolah dari sudut politik, agama, atau perkauman. Ini adalah isu kesihatan, kesejahteraan hidup, dan sivik,” katanya.

Aiman Athirah sebelum ini meminta maaf jika ada pihak yang sensitif dengan gambar beliau memegang replika cek berlogo syarikat arak pada satu majlis sumbangan di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina

BACA: Lelaki beli peti ais ‘second’, terjumpa RM360,000 di bawah peti ais