Kerjasama dengan Mahathir, ini kata putus dari Anwar

Oleh MHDAILY

Kerjasama dengan Mahathir, ini kata putus dari Anwar. Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah bersetuju menjalin kerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekadar kesediaan untuk berbincang, terutama hal prinsip.

“Bila kerjasama (dengan Dr Mahathir)? Siapa kata? Saya kata nak bincang, sesiapa pun boleh bincang. Kalau diperlukan hari ini saya ada di Pulau Pinang, esok di Sabah, lusa di Sarawak. Lebih baik kita menemui rakyat dalam keadaan sekarang,” kata Pengerusi PH itu.

Presiden PKR itu yang ditemui media selepas Majlis Makan Malam PKR Pulau Pinang di sini malam tadi, menjelaskan cadangan pertemuan membabitkan beliau dan Dr Mahathir seolah-olah perkara baharu, sedangkan sudah banyak perjumpaan diadakan sebelum ini.

“Usul-usul hendak adakan pertemuan itu seolah-olah belum ada pertemuan, (sedangkan) berpuluh kali sudah ada pertemuan sebelum ini.

“Sebab itu saya lebih merujuk kepada dasar apakah benar kita tolak rasuah. Bukan nak menolak UMNO saja, tetapi menolak sistem yang mendukung dan merestui rasuah, kezaliman, penghinaan orang serta kaum,” katanya.

Kerjasama dengan Mahathir, ini kata putus dari Anwar

Katanya, fokus dan tumpuan PH kini adalah untuk memasuki PRU15 dengan menawarkan khidmat kepada rakyat, bukan sekadar menolak pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Lebih baik kita tumpu masalah dihadapi rakyat dan tawaran rakyat ini bukan percaturan peribadi. Saya lebih cenderung untuk melihat pilihan raya ini berdasarkan program dan tawaran kepada rakyat,” katanya.

Kelmarin, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA dan Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), menyatakan kesediaan bertemu Anwar bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi PRU15.

Bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan keyakinan GTA mempunyai matlamat yang sama dengan Anwar dalam mengetepikan BN, malah sedia mengambil langkah pertama ke arah kerjasama itu.

Mengenai agihan kerusi PH, Anwar memaklumkan, ia sedang berlangsung dan berjalan dengan baik.

Beliau memaklumkan, PH akan mengetengahkan calon berwibawa di kawasan yang bakal ditandingi terutama membabitkan ‘kerusi pengkhianat’ yang tidak sewajarnya diberi peluang kedua.

“Lebih penting daripada calon, diketengahkan di kawasan khianat atau kawasan lain itu bukan isu calon semata mata, tapi orang yang berwibawa dan dasar yang jelas.

“Jika orang khianat dalam negara yang sistem demokratik, kalau sistem diktator lain, tidak mungkin orang boleh percaya khianat sekali, apatah lagi khianat dua kali,” katanya.

Presiden PKR menyifatkan individu yang dianggap sebagai pengkhianat itu sekadar menegakkan benang yang basah dengan menggunakan alasan dipecat untuk menyandang kerusi dimenangi atas tiket PKR dan menyertai gabungan parti lain.

“Yang khianat, kita tahu yang jelas kepalanya (ketua) di Gombak, ekornya di Nibong Tebal umpamanya. Sekarang mereka kata, kami tidak keluar, kami telah dipecat. Ya, kalau kamu dah keluar gelanggang, keluarlah sama ada dipecat atau tidak. Itu hanya proses,” katanya.

Beliau turut menegaskan PRU15 kali ini perlu ditentukan daripada sudut kewibawaan barisan kepemimpinan dan dasar yang diketengahkan, bukan medan kecam-mengecam seperti dimulakan di beberapa tempat.

“Kita kena tegaskan, kalau PH, kita ada hala tuju kita. Kita ada tata kelola yg baik membanteras rasuah dan menjaga masyarakat Melayu, Bumiputera bersama masyarakat suku kaum lain.

“Jadi dasar kita jelas. Orang yang bicara soal rasuah umpamanya, harus jamin bahawa mereka tidak terpalit (kes) rasuah yang besar. Saya fikir memilih pemimpin itu adalah yang berwibawa dengan dasar memacu pertumbuhan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada Parlimen Tambun di Perak bukan masalah besar buat dirinya, Anwar menegaskan, beliau tiada masa untuk menjawab kecaman peribadi yang telah dilemparkan terhadapnya oleh pelbagai pihak.

Menurutnya, beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya dengan rasa keinsafan memandangkan rakyat mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

“Saya akan berikhtiar menemui mereka (rakyat) dan menjelaskan mengapa saya memilih Tambun. Saya tidak ada sikap untuk mengatakan atau mengandaikan saya mempunyai kekuatan atau tidak di sana,” katanya.

BACA:

Ini rahsia buah limau kasturi tumbuh berbuah lebat

Aeril Zafrel cucuk jarum hangatkan lagi suhu isu Caprice-Mydin

KWSP: Ini teknik rahsia keluar simpanan sebelum usia 55 tahun