Kerjasama dengan Bersatu : Umno Seremban sepakat tolak !

Kerjasama dengan Bersatu : Umno Seremban sepakat tolak !

UMNO Bahagian Seremban akan membawa usul menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketuanya, Mustafa Salim berkata, pihaknya sudah sepakat tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Bersatu berikutan tiada perikatan jelas antara dua parti terbabit.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Negeri Sembilan sehubungan itu berkata, UMNO tidak akan menyokong mana-mana calon dari Bersatu yang akan bertanding pada PRU15 nanti.

“Kita menolak kerjasama dengan Bersatu, tidak akan sesekali menyokong calon mereka pada pilihan raya ini. Daripada lapan bahagian di Seremban, enam daripadanya sudah sepakat menolak kerjasama dengan Bersatu kecuali UMNO Bahagian Jelebu dan Jempol masih belum ada keputusan.

“Kita akan membawa usul ini di peringkat mesyuarat UMNO peringkat negeri dan kemudian kepada pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban 2020 di SR Valley Mantin di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Seri Md Yusop Harmain Shah dan Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussain.

Sementara itu, Zool Amali berkata, pihaknya tegas dengan pendirian untuk mengembalikan kerusi Parlimen Seremban yang diberikan kepada MCA selama lima penggal kepada UMNO.

Beliau berkata, kerusi Parlimen itu hanya boleh dijatuhkan dengan meletakkan calon daripada UMNO memandangkan MCA tewas di kerusi berkenaan pada pilihan raya umum lalu.

Sumber : https://negaramerdeka.com/umno-seremban-sepakat-tolak-kerjasama-dengan-bersatu/

COMMENTS