Kerap turun padang dan tepati janji punca saya dapat sokongan – Mahathir

Kerap turun padang dan tepati janji punca saya dapat sokongan – Mahathir

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Moahamad berkata, beliau mendapat sokongan ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini bukan kerana memberi ‘macam-macam’ kepada orang.

Menurutnya, sokongan diperoleh selepas beliau banyak turun padang bertemu rakyat selain menepati janji yang dibuat.

Tegasnya, beliau tidak memberi wang semata-mata untuk mendapatkan sokongan.

“Saya nasihat Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak), kalau nak popular, tak perlu bagi duit.

“Turun ke kampung, bersalaman dengan orang, tanya apa khabar dan tanya anak apa jadi, itu saja sudah mencukupi.

“Duit saya, duit sayalah, saya tak beri kepada orang tapi dengan cara berbaik-baik lepas itu kita tunaikan janji. Kita nak bangunkan negara, kita kena tunaikan janji. Orang sokong saya kerana itu, bukan selalunya kerana rasuah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar anjuran Sinar Harian pada Rabu.

Tegasnya, orang Melayu mempunyai sikap patuh kepada pemimpin dan pembesar serta tidak akan menderhaka kepada mereka.

“Kelainan orang Melayu adalah mereka mengutamakan orang, bukan perbuatan. Kalau orang itu buat perkara tak baik tapi dia ‘boss’ aku, tak apalah.

“Lagipun, dia Melayu Islam. Dia tak kira, buat baik ke, buat tak baik ke, kalau dia Melayu Islam, kita sokonglah, dia parti kita pula,” ujarnya.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/saya-dapat-sokongan-kerana-kerap-turun-padang-tunaikan-janji-tun-mahathir-283390