Seorang guru agama membuahkan gelak tawa netizen apabila secara tidak sengaja membawa komik ketika hendak mengajar di sebuah masjid.
Melalui satu hantaran di Facebook oleh Bin Aznan Al-Zaqaziqi, beliau sedang bersedia untuk memberikan kuliah di sebuah masjid di kawasan Gopeng, Perak.
Sebelum berangkat, rumahnya mengalami gangguan elektrik, menyebabkan kegelapan.
Tanpa banyak pilihan, beliau mengambil sahaja sebuah kitab yang terletak di atas meja belajar.
Disebabkan ketebalan komik itu hampir sama dengan kitab, ditambah lagi dengan kegelapan yang menyelubungi waktu itu, tidak disangka-sangka kedua-dua buku itu tertukar.
“Saya rasa kitab di meja adalah kitab pengajian saya, tetapi apabila sampai di masjid, ternyata ianya adalah komik (Lawak Kampus) anak saya.
“Ini bukanlah kitab Fiqhul Manhaji yang sepatutnya saya ajar di masjid.
“Jika anda berada dalam kedudukan saya, apa yang akan anda lakukan?” soal guru agama tersebut.
Hantaran di Facebook itu menerima ratusan komen daripada netizen yang mendapati situasi itu lucu.
Di antara komen-komen tersebut, ada yang mencadangkan agar guru agama itu meninggalkan kitab di dalam kereta untuk mengelakkan insiden serupa berulang.
Namun, guru tersebut menjelaskan bahawa dia sentiasa perlu membuat semakan semula sebelum mengajar kuliah. Itulah sebabnya kitab itu sering berada di tempat yang berbeza.
BACA: Pengantin lelaki hadiahkan ‘permaidani wang’ bernilai cecah RM90k!