Kerana banyak bagi subsidi pada rakyat, ini sejarah kerajaan yang tumbang tapi ramai rakyat yang tak sedar akibatnya.
Bila isu berkait kebajikan orang ramai dipetik, muncullah hujah tentang keperluan kerajaan Malaysia mewujudkan dasar mengutamakan rakyat dengan pelbagai jenis bantuan agar kelangsungan hidup kita terjaga.
Seandainya idea sebegitu difikirkan tergopoh-gapah, pasti mudah untuk anda bersetuju dengan pandangan sedemikian, kerana kita sebagai sebuah masyarakat cenderung melihat bantuan mencurah-curah sebagai sesuatu yang positif.
Tetapi tahukah anda dalam sejarah dunia, pernah ada negara di mana kerajaannya mampu memperkenalkan dasar sehinggakan rakyatnya langsung tidak perlu bekerja?
Inilah sejarah negara kepulauan Nauru, di mana rakyatnya pernah hidup bahagia tetapi akibat kebahagiaan itu jugalah menjadi punca mereka sedang menderita.
Jerman memulakan perlombongan mineral berharga
lombong fosfat di nauru
Negara kepulauan Nauru dijajah Jerman pada abad ke 19.
Ekoran daripada penjajahan inilah, sebuah syarikat bernama Pacific Phosphate Company memulakan aktiviti perlombongan fosforus untuk mendapatkan galian fosfat, dimulakan secara besar-besaran di sana dengan persetujuan kerajaan Jerman.
Perjanjian perlombongan galian ini dimeterai pada tahun 1906 dan eksport pertama fosfat berjaya dilakukan pada tahun 1907 dari Nauru. Bagaimanapun selepas perang dunia pertama Nauru diambil alih tentera di bawah kerajaan British, yang berpusat di Australia.
Pentadbiran baru yang bermula pada tahun 1914 mencapai kata sepakat di antara tiga kuasa tadbir iaitu United Kingdom, Australia dan New Zealand, merasmikan Suruhanjaya Fosfat British atau British Phospate Commission (BPC) bagi menyelia dan meneruskan pengeluaran fosfat di Kepulauan Nauru.
Kembali ke tangan Jerman
Beberapa dekad kemudian semasa tercetusnya perang dunia ke 2, Jerman bekerjasama dengan sekutu mereka Jepun bertindak menyerang Nauru; membolehkan Jepun mengambil alih pentadbiran pulau itu pada tahun 1942.
Pendudukan Jepun di sana bagaimanapun hanya kekal sehingga tahun 1945 selepas tentera Jepun menyerah kalah, diserang batalion laut Australia – meletakkan Nauru di bawah pentadbiran Australia dengan sokongan United Kingdom dan New Zealand.
Rancangan Australia yang mahu meletakkan pentadbiran pulau itu sebagai badan kekal di bawah mereka memulakan desakan penentangan penduduk tempatan, membawa kepada gerakan menuntut kemerdekaan.
Pada tahun 1966, hasil desakan kuat – pemimpin Nauru dibenarkan menubuhkan kerajaan diwakili orang tempatan di bawah naungan Australia.
Kemudiannya pada tahun 1967, seiring dengan perkembangan tuntutan kemerdekaan Nauru, semua aset milik BPC dijual kepada badan milik orang tempatan; membolehkan orang Nauru mengawal sendiri aktiviti perlombongan di tanah air mereka.
Nauru diisytiharkan merdeka pada 31 Januari 1968, memberikan kuasa mutlak pentadbiran kepada kerajaan berbentuk republik, menentukan hala tuju negara baru tersebut.
Ekonomi pesat hingga bergelar negara terkaya dunia
Berikutan fasiliti perlombongan yang tersedia dibina, pemimpin Nauru meneruskan aktiviti perlombongan, mendapatkan fosfat yang ada serta membuka lombong-lombong baru.
Aktiviti perlombongan pesat ini berjaya menaikkan status Nauru sebagai kuasa ekonomi dunia, disebabkan harga fosfat pada dekad 1970-an dan 80-an yang tinggi disokong permintaan hangat.
Mempunyai jumlah populasi yang sikit, ketika itu dianggarkan hanya sekitar 4,500 orang – sumber fosfat yang dieksport menjana kira-kira RM550 juta pendapatan negara secara tahunan, cukup untuk memberikan setiap penduduk mereka pulangan RM120 ribu setahun.
Ekoran daripada pendapatan melimpah ruah melebihi keperluan penduduk; kerajaan Nauru mula memperkenalkan perubahan ke atas dasar kerajaan yang berpandukan kepada kadar pendapatan tinggi ini, agar setiap orang dapat merasai nikmatnya.
Negara berkebajikan 100%
masyarakat nauru hidup mewah
Perkara pertama yang diumumkan Presiden Nauru, Hammer DeRoburt dalam berkongsi kelebihan ekonomi adalah pemansuhan sebarang bentuk cukai di Nauru – kerana menurut beliau ‘cukai tidak sesuai dengan corak hidup masyarakat Nauru.’
Pemilik tanah di Nauru yang memajakkan tanah mereka untuk pembukaan lombong mula menerima bayaran royalti lebih tinggi hasil aktiviti perlombongan, cukup untuk dijadikan gaji bulanan mereka. Senang lenang goyang kaki, royalti masuk.
Bagi membantu penduduk yang dalam kategori bukan pemilik tanah, kerajaan Nauru menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji minima RM19,250 setahun, cukup untuk mereka hidup sederhana.
Kekayaan melimpah membantu kerajaan Nauru memperkenalkan dasar kebajikan 100%, di mana majoriti keperluan asas penduduk ditanggung kerajaan. Perkhidmatan perubatan, kesihatan, pergigian, pendidikan, pengangkutan awam serta langganan akhbar, semuanya ditanggung melalui hasil keuntungan eksport fosfat.
Sewa rumah di Nauru hanya diletakkan pada kadar RM21.80 sebulan dengan perkhidmatan telefon dan elektrik pula dicaj pada kadar minima sahaja bagi semua kediaman.
Mana-mana pelajar di Nauru yang layak menyambung pengajian peringkat tertiari dihantar ke Australia secara biasiswa penuh. Mana-mana pesakit yang gagal dirawat di Nauru, akan diterbangkan ke Australia secara percuma bagi mendapatkan rawatan.
Oleh kerana kesenangan yang hadir ini, warga Nauru mula enggan kembali bekerja di lombong-lombong seperti ketika era penjajahan. Pekerja lombong mula dibawa masuk beramai-ramai dari negara jiran seperti Kiribati dan Tuvalu serta negara luar seperti Hong Kong dan Filipina.
Untuk menguruskan kesemua sektor, tenaga pakar dari Australia dan New Zealand diimport masuk bagi menjawat jawatan pengurus, juruteknik, guru dan pegawai dalam bermacam bidang.
Bagi orang tempatan Nauru – mereka tidak nampak ada keperluan untuk mereka bekerja kerana semuanya sudah tersedia untuk dinikmati. Mereka boleh bersenang-lenang sahaja menikmati hidup secara santai.
Nikmat dunia mula ditarik semula
orang nauru risiko diabetis
Sepanjang dekad 70-an, aktiviti perlombongan fosfat di Nauru kekal rancak berjalan dek permintaan tinggi, disokong harga satu tan fosfat yang pada ketika itu bernilai RM305.
Jumlah ini memberikan pendapatan per kapita Nauru pada tahap RM220,000, layak duduk di kedudukan kedua tertinggi dunia selepas Arab Saudi.
Bagaimanapun corak hidup ini ada kelemahannya. Bila aspek kebajikan orang ramai sudah terlalu terjaga sehingga masyarakat hidup manja, corak hidup mereka juga berubah.
Terpengaruh dengan budaya hidup yang dibawa oleh masyarakat Australia yang hadir di sana, corak baru diet dan pemakanan orang Nauru mengakibatkan kadar diabetis di kalangan masyarakat mereka meningkat sehingga 40% daripada jumlah populasi.
Masalah ketagihan alkohol menyumbang kepada peningkatan kes kegagalan organ. Kemalangan jalan raya juga menjadi-jadi walaupun hanya ada 18 km jalan raya di pulau tersebut, akibat pemandu yang mabuk.
Masyarakat Nauru sudah terlalu selesa hidup dalam penuh nikmat. Mereka seolah terlupa tentang amaran-amaran yang telah diberitakan sebelum itu.
Tahap kerosakan persekitaran yang berlaku akibat aktiviti perlombongan mula dirasai, dengan banyak kawasan tanah mereka sudah tidak lagi sesuai untuk diguna dalam apa saja bentuk. Amaran berkenaan penyusutan bekalan fosfat yang sudah disuarakan sejak penghujung dekad 1960-an, gagal menjadi peringatan kepada mereka.
Sekitar awal dekad 1990-an, kemewahan Nauru mula berkurangan. Kerajaan Nauru yang sebelum itu tidak takut berbelanja untuk kebajikan orang ramai, mula terkesan. Akibat berkurangnya sumber fosfat, kerajaan Nauru gagal untuk membayar gaji penjawat awam buat kali pertama.
Usaha untuk mengeksport bahan fosfat yang telah diproses juga berdepan kesukaran, kerana Nauru tidak cukup wang untuk membayar pengusaha kapal yang akan menghantar eksport utama mereka ke luar.
Dalam tempoh dari tahun 2001 sehingga 2004, gaya hidup mewah Nauru mula ditarik satu per satu. Hubungan telekomunikasi berasaskan satelit mereka terpaksa ditutup kerana kegagalan melangsaikan bayaran. Penjawat awam terpaksa meraikan Krismas tanpa gaji.
Kemuncaknya, kediaman rasmi Presiden Nauru yang dinamakan sebagai Rumah Nauru ditarik balik kerana kegagalan Nauru menjelaskan hutang negara mereka.
Anda masih idamkan negara yang terlalu berkebajikan?
bekas lombong fosfat nauru kini terbiar
Apa yang berlaku ke atas negara kepulauan Nauru membuktikan satu perkara penting:
Apabila sesuatu masyarakat itu dimewahkan dengan kebajikan demi kebajikan sehingga mereka tidak lagi ada daya untuk berusaha bekerja, pengakhirannya hanyalah derita.
Apatah lagi sekiranya kekayaan yang dirasai berlandaskan kepada hasil bumi yang ada hadnya. Bagi Nauru, fosfat. Bagi kita di Malaysia, petroliam banyak menangani beban kewangan kita.
Selepas tamat zaman kemewahan Nauru serta ternoktahnya aktiviti perlombongan fosfat di sana dalam tahun 2006, kini Nauru sedang cuba bangkit semula sebagai sebuah negara,
Namun mereka sangat bergantung dengan Australia sebagai rakan ekonomi utama. Sejak tahun 2003 kerajaan Australia telah menyalurkan bantuan jutaan ringgit bagi menampung ekonomi Nauru, tetapi berapa lama bantuan sedemikian mampu bertahan?
Mengambil kesempatan ke atas kejatuhan ekonomi Nauru, Australia menawarkan satu bentuk bantuan unik pada tahun 2001.
Kerajaan Australia menggesa agar Nauru membenarkan Australia membuka kem penempatan pelarian di Nauru; sekiranya persetujuan dicapai, Nauru akan menerima pampasan tahunan. Pusat Pemprosesan Wilayah Nauru dibuka pada tahun 2001 dikendalikan kerajaan Nauru bagi menempatkan tahanan Australia.
Pusat ini pernah dibuka dan ditutup beberapa kali ekoran perubahan dasar kerajaan Australia dalam tempoh 2 dekad kebelakangan ini. Kini status pusat tahanan ini telah kembali beroperasi, selepas dibuka semula pada bulan September tahun 2022.
Menurut laporan tahun 2021 dan 2022, bayaran yang dikeluarkan oleh Australia kepada Nauru cukup lumayan; dianggarkan mampu mencecah RM1.5 juta seorang untuk setahun kerana pusat tahanan itu hanya perlu menempatkan di antara 1,000 ke 1,500 orang dalam satu-satu masa.
Jika dikira secara purata sejak penubuhannya, rakyat Australia telah membelanjakan RM67 ribu sehari bagi menahan dan menyelia seorang pendatang Australia yang ditahan di Nauru.
Walaupun angkanya besar seakan menggambarkan kehidupan di sana mewah, pendatang yang hadir terpaksa menetap di sana ramai mendakwa mereka gagal mendapatkan kemudahan asas yang baik serta hidup dalam keadaan melarat.
Kegagalan Nauru untuk memperbaiki kualiti hidup tahanan Australia di sana sering menimbulkan kritikan pemerhati dan aktivis hak asasi manusia.
Tetapi bagi pemimpin Nauru dan Australia, besar kemungkinan mereka tidak peduli dengan kritikan – kerana kedua-duanya tampak selesa meneruskan perjanjian ini walaupun banyak pihak termasuklah orang ramai Nauru dan Australia sendiri menidakkan keperluan pusat tahanan itu untuk terus beroperasi.
Begitulah kisahnya bagaimana Nauru pernah bergelar negara terkaya dunia, tetapi akhirnya terpaksa meminjamkan tanah sendiri untuk menempatkan tahanan negara lain – hanya kerana mereka alpa dengan nikmat dunia yang sementara.
BACA:
Dikecam netizen kerap ajak isteri menari, sekali Da’i Syed buka mulut sekolahkan balik netizen