Kerajaan umum teruskan semula PLKN dalam kem tentera, apa itu PLKN?

Oleh FAHMI ABBAS

Pada 2018, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah dimansuhkan oleh kerajaan setelah mendapati ia telah disalah guna

Bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu, menurut Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq.

Pun begitu, setelah melakukan penelitian semula kerajaan pada hari ini mula membuat keputusan untuk meneruskan kembali PLKN selepas mendapati ia memberikan asas ketatanegaraan kepada golongan belia.

Kerajaan umum teruskan semula PLKN dalam kem tentera, apa itu PLKN?

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, PLKN 3.0 pada kali ini dilaksanakan menggunakan kaedah latihan berbeza termasuk memerlukan anak muda menjalani latihan di kem tentera.

Bagi anak-anak muda pada zaman ini, kemungkinan ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan PLKN kerana ia telah dimansuhkan bertahun yang lalu.

Namun topik berkaitan perkara itu sering dibangkitkan disebabkan pada tahun sebelumnya, PLKN merupakan salah satu program yang wajib untuk disertai oleh rakyat di negara ini, tidak kira bangsa.

Bila PLKN diperkenalkan?

Untuk pengetahuan, PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 yang memerlukan individu menjalani latihan selama tiga bulan meliputi modul fizikal, pembinaan karakter, kenegaraan dan khidmat komuniti.

Program anjuran kerajaan ini mula digagaskan pada 2002 dengan pembentukan Jabatan Latihan Khidmat Negara.

Kredit: BERNAMA
Bagi mereka yang menyertai PLKN ini, wajib untuk mengetahui bahawa peserta akan menjalani program tersebut secara berkhemah dan berasrama dan akan ditempatkan mengikut negeri masing-masing.

Jika ditelusuri mengenai objektif, PLKN ini dilaksanakan untuk mencapai lima perkara yang telah digariskan, antaranya meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Ia juga memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional, membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni, menyemarakkan semangat kesukarelaan dan melahirkan generasi muda yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri.

Modul latihan
Seperti yang dinyatakan di atas, PLKN dijalankan mengikut empat modul, yang pertamanya, modul fizikal yang dilaksanakan untuk membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal.

Kemudian, bagi modul kenegaraan, ia adalah sebuah modul yang diaplikasikan untuk memperluaskan pengetahuan tentang kenegaraan dan meningkatkan perasaan cinta serta pengorbanan mereka yang terlibat kepada negara.

Manakala, bagi modul pembinaan karakter ia dilaksanakan untuk membina karakter yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi diri, keluarga, komuniti dan negara.

Sementara itu, modul khidmat komuniti pula menekankan tentang lima komponen utama iaitu kemudahan awam, kejiranan, khidmat sosial, alam sosial, alam sekitar dan penempatan di jabatan.

Walau bagaimanapun, program ini telah dimansuhkan pada 2018 apabila kerajaan persekutuan diambil alih oleh Pakatan Harapan.

Pada ketika itu, PLKN disertai seramai 85,000 hingga 95,000 pelatih dalam setahun dan purata yang kerajaan belanjakan bagi program adalah kira-kira RM600 juta setahun.

Oleh kerana program tersebut memerlukan perbelanjaan yang banyak, ia kemudiannya dihentikan selama setahun pada 2015.

Namun, pada tahun 2016 PLKN mula diperkenalkan semula dengan PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 setahun sebelum dimansuhkan lagi pada Ogos 2018.

BACA: ‘Dah cuba tapi gagal’, Mawar Rashid akhirnya ‘unboxing’ setelah sekian lama bertudung