Kerajaan harus sedar dari berkhayal supaya keadaan tidak semakin memburuk – Anwar

Kerajaan harus sedar dari berkhayal supaya keadaan tidak semakin memburuk – Anwar

Saya mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri sebentar tadi terkait Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dilaksanakan pada 13 Januari ini. Ini bermakna kerajaan tidak menggunakan kesempatan ini untuk mengumumkan darurat.

Dalam minggu-minggu mutakhir ini kerajaan tidak memberi sebarang respon terkait strategi dan langkah yang akan diambil dalam membendung penularan wabak COVID-19 yang kini telah melebihi 2000 kes setiap hari secara konsisten.

Wujud banyak spekulasi, kekeliruan dan panik yang berlebihan sejak Jumaat lalu tatkala rakyat dan negara gelisah menunggu pengumuman yang bakal dibuat Perdana Menteri hari ini. Namun, tanpa penjelasan lanjut dari MITI, para majikan dan pekerja sekali lagi tidak diberikan masa yang cukup bagi membuat persiapan untuk PKP. Sistem kesihatan kita sedang tenat dan langkah ketat yang diumumkan hari ini adalah sangat diperlukan bagi mengurangkan beban para petugas barisan hadapan.

Perdana Menteri berkata sistem kesihatan kita di tahap yang sangat kritikal. Maka, bertitik tolak dari perkembangan ini, saya menggesa kerajaan untuk mengawal ketat dan tegas melalui SOP tanpa cenderung kepada mana-mana pihak, tanpa mengira pangkat, jawatan mahupun kecenderungan politik. Pilihanraya negeri Sabah telah membuktikan kepada kita semua bahawa virus ini tidak mengira sesiapa saja.

Seperti yang telah berkali-kali sebutkan sebelum ini, kerajaan mesti mengkaji dan memikirkan strategi untuk jangka panjang dan yang lebih berkesan bagi membendung penularan penyakit ini. Pengujian besar-besaran (mass testing/pooled testing) dan pengesanan kontak (contact tracing) yang lebih berkesan dari aplikasi MySejahtera.

Saya juga menggesa kerajaan untuk bersikap telus berhubung data dan bantu pelbagai pihak untuk lebih faham di mana titik punca (hotspot) sebenar, terutamanya yang melibatkan pekerja-pekerja asing. Kementerian Kesihatan berkata mereka sedang mengkaji kaedah ‘pooled testing’, namun belum ada metode dan panduan mengenainya. Negara-negara lain telah membuktikan metode ini lebih berkesan dari hanya mengawal pergerakan. Justeru, saya ulang ketelusan sangat penting saat ini.

Malangnya, pengumuman terbaru ini akan terus mengesankan sektor perniagaan dan aktiviti ekonomi yang masih belum kebah dari dampak beberapa PKP sebelum ini sejak bulan Mac tahun lalu. Saya mendesak kerajaan untuk lebih telus terkait realiti kewangan dan ekonomi negara dan bagaimana dana dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Banyak perniagaan, terumatanya PKS atau IKS masih belum menerima subsidi upah dan mungkin tidak lagi tertampung dengan kesan pandemik. Langkah terkini hanya menjadi titik kritikal pada perniagaan-perniagaan yang di ambang penutupan.

Ramai yang akan kehilangan kerja. Ramai yang akan dihempap kemiskinan. Kerajaan digesa untuk mengumumkan segera peruntukan sebanyak RM500 juta untuk dua minggu seterusnya termasuk bantuan-bantuan lain seperti subsidi upah dan bantuan untuk perniagaan atau perusahaan yang terjejas. Kerajaan juga mesti mengarahkan semua untuk segera melaksanakan kembali moratorium pinjaman sehingga diberitahu kelak. Langkah dan pengumuman ini mesti dibuat segera.

Selain kesan pandemik, beberapa negeri juga kini dibebani dengan masalah banjir dan perlukan bantuan segera. Pusat-pusat pemindahan sementara mesti dipantau rapi bagi memastikan pelaksanaan SOP yang ketat dan mencegah kewujudan kluster-kluster baru.

Inilah masanya untuk menonjolkan kepimpinan yang bertanggungjawab, dan kerajaan harus sedar dari berkhayal supaya keadaan tidak semakin memburuk. Rakyat amat-amat berhak dan memerlukan kepimpinan yang lebih baik dan tegas saat ini.

ANWAR IBRAHIM

Sumber :

COMMENTS