Kerajaan boleh bagi setiap keluarga di Malaysia RM1 juta?, ini penjelasan Rafizi

Oleh SURIANI HAMDAN

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan bahawa kerajaan tidak boleh memberikan setiap keluarga di negara ini

sebanyak RM1 juta dengan mencetak wang, kerana tindakan sedemikian akan membawa masalah besar kepada ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan dianggarkan memerlukan kira-kira RM8 trilion

untuk melaksanakan cadangan itu, dengan anggaran terdapat kira-kira lapan juta isi rumah di Malaysia.

“Kalau kita cetak wang, inflasi akan naik mendadak dan nilai ringgit akan jatuh dengan teruk.

Kerajaan boleh bagi setiap keluarga di Malaysia RM1 juta?, ini penjelasan Rafizi

Nanti keadaan akan menjadi seperti wang pokok pisang semasa zaman Jepun.

“Kalau kita meminjam, jumlah hutang negara akan meningkat hingga 500 peratus daripada saiz ekonomi.

Tidak mungkin ada peminjam yang sanggup memberi begitu banyak wang kepada Malaysia,” katanya dalam satu catatan di Facebook rasminya.

Rafizi menambah, jika ada pihak yang sanggup membeli bon kerajaan untuk mengumpul dana RM8 trilion, mereka akan mengenakan kadar faedah yang sangat tinggi, mungkin mencecah 20 peratus.

Beliau menegaskan, setiap tahun kerajaan perlu membayar lebih RM1 trilion sebagai faedah sahaja, sedangkan pendapatan kerajaan tidak mencecah RM400 bilion.

“Yang paling penting, jika setiap keluarga ada RM1 juta, siapa yang akan bekerja?

Semua orang dah jadi jutawan, kita akan berhadapan dengan masalah kerana perniagaan dan pejabat mungkin akan ditutup!

“Sebab itu, ada sesetengah idea, walaupun kedengaran bagus, tidak semestinya boleh dilaksanakan,” katanya.

Catatan Rafizi itu sekali gus menjelaskan mengapa kerajaan tidak boleh melaksanakan cadangan sedemikian, yang didakwa dapat menghapuskan kemiskinan dan merangsang ekonomi dengan perbelanjaan keluarga.

Langkah sedemikian juga dikatakan akan memberi keuntungan kepada perniagaan serta melonjakkan pendapatan kerajaan.

Baca Juga:Parodi guna lagu puja pemimpin GISBH dalam radar pemantauan MCMC ramai tak perasan