Kenyataan Pas bantu kekalkan Tommy Thomas sebagai peguam negara

Kenyataan Pas bantu kekalkan Tommy Thomas sebagai peguam negara

PAS mungkin berperanan menyelamatkan tugasnya sebagai peguam negara selepas perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad tiba-tiba memintanya berundur.

Menurut Thomas, sehari selepas dilantik menjadi peguam negara pada Jun 2018 Mahathir menyuarakan hasratnya untuk melihat dia meletak jawatan kesan daripada reaksi orang Melayu.

Dalam kata pengantar bukunya Thomas berkata selepas bergelut untuk menulis kenyataan media bagi mengumumkan peletakan jawatannya, dia meminta Mahathir menangani kenyataan itu dan dipersetujui ahli parlimen Langkawi terbabit.

Bagaimanapun katanya Mahathir menukar fikiran pada malam itu.

“Nampaknya satu kenyataan dikeluarkan PAS pada malam tersebut yang menyatakan mereka tidak membantah pelantikan saya – terutama kerana saya pernah mewakili kerajaan PAS Terengganu dan Kelantan dalam isu tuntutan bayaran royalti minyak ke atas Petronas – mengejutkan Tun (Mahathir),” katanya.

Walaupun nampak ada tanda positif, kata Thomas, dia tidak mahu terlalu berharap.

Ia adalah antara apa yang diceritakan Thomas dalam memoirnya yang baru diterbitkan berjudul Justice in the Wilderness.

Pendirian berubah selepas dilantik

Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya hasil PRU ke-14 pada 2018 gabungan itu melakukan beberapa perubahan institusi termasuk melantik orang baru mengisi jawatan peguam negara.

PAS asalnya membantah pelantikan Thomas namun menukar pendirian mereka selepas ia diumum Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.

Kenyataan itu dikeluarkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang kini dilantik Muhyiddin Yassin menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selepas semalaman, kata Thomas, dia menerima panggilan telefon daripada Mahathir pada jam 7.30 pagi dan memberitahu dia menukar fikiran.

Kata Thomas Mahathir meminta dia menerima jawatan tersebut.

Menurut Thomas, walaupun pada awalnya Mahathir berbelah-bahagi namun pengerusi PH ketika itu memberikan jaminan untuk menyokong penuh pelantikan berkenaan.

“Saya terhutang budi kepada mereka yang memberikan keyakinan – dan mereka tahu siapa mereka – yang bersungguh-sungguh mendapatkan pelantikan saya.

“Agak ironi, PAS juga mungkin menyumbang kepada pelantikan saya dengan kenyataan yang tepat pada masa,” katanya.

Pun begitu dalam memoir sama Thomas kemudian mendakwa PAS kemudian berubah dan mereka berbohong mengenai DAP serta memainkan pelbagai isu dengan sentimen perkauman.

Dua hari sebelum angkat sumpah

Selepas pelantikan sebagai peguam negara, kata Thomas, pandangan PAS kepadanya juga memburuk.

Selepas berlaku ketidaktentuan politik ekoran Langkah Sheraton pada akhir Feb tahun lalu, Thomas berkata, peletakan jawatannya adalah satu daripada dua syarat diletakkan Umno dan PAS untuk bekerjasama dengan Mahathir.

Satu lagi syarat yang diletakkan, katanya, ialah agar Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng diketepikan daripada jawatan sebagai menteri kewangan.

Untuk rekod ketika itu Mahathir cuba membentuk kerajaan perpaduan yang merentasi sempadan parti.

“Kata Tun mereka sangat marah dengan keputusan saya menggugurkan semua tuduhan ke atas suspek LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam).

“Kata mereka, ia adalah keputusan rasis di pihak saya. Justeru kata Tun saya perlu berundur.

“Kata Tun dia tidak akan menyambung kontrak saya apabila tamat pada Jun 2020, iaitu kira-kira tiga bulan kemudian. Dia yakin Umno dan PAS akan bersetuju dengan tarikh itu,” katanya.

Thomas akhirnya meletak jawatan sebagai peguam negara pada 28 Feb 2020.

Kata Thomas tindakan itu dibuat kerana Mahathir mahu dia berundur ketika ahli politik veteran itu masih menjadi perdana menteri – suatu keadaan yang diyakini akan berubah dalam tempoh yang singkat.

Ia terbukti benar apabila dua hari selepas peletakan jawatan itu Muhyiddin pun mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. –MK