Kenapa telinga ‘bengkak’ ini selalu terjadi kepada ‘fighter’, ini puncanya

Oleh ANITA ABD RAHMAN

‘Jangan main-main dengan orang yang mempunyai telinga kubis bunga’?

Amaran ini diberikan sebagai peringatan bahawa individu yang memiliki telinga kubis bunga (cauliflower) adalah seorang yang mahir dalam berlawan.

Petunjuk ini menunjukkan kebolehan individu tersebut dalam berlawan, sama ada di dalam atau di luar gelanggang.

Kenapa telinga 'bengkak' ini selalu terjadi kepada 'fighter', ini puncanya

Jadi, jika anda berjumpa dengan seseorang yang mempunyai telinga sedemikian, lebih baik hindari mencabar mereka untuk berlawan, kerana risikonya ialah cedera yang tidak diingini.

Tetapi mungkin anda terfikir, bagaimana sebenarnya telinga kubis bunga ini terbentuk?

Jika anda ingin tahu, ia adalah sejenis kecacatan yang biasa terjadi dalam kalangan pengamal seni bela diri campuran (MMA) dan atlet ragbi yang sering mengalami cedera telinga.

Walaupun kelihatan seperti risiko kesihatan, namun anda perlu tahu bahawa ia boleh sembuh dengan cepat jika mendapat rawatan pada masanya. Namun, jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kecacatan telinga yang serius dan kekal.

Anda juga perlu sedar bahawa tidak semua pejuang MMA mempunyai telinga cauliflower, dan menyertai MMA tidak bermakna telinga anda akan mengalami perubahan bentuk.

Pencegahan boleh dilakukan dengan memakai pelindung kepala yang dapat mengurangkan risiko kecacatan telinga.

Mengapa kebanyakan pejuang MMA mempunyai telinga cauliflower?

Punca utama terbentuknya telinga cauliflower ini adalah akibat pukulan dan geseran semasa bergelut dengan lawan dalam gelanggang.

Bagi mereka yang terlibat dalam bidang ini, sangat mudah untuk mendapat telinga kubis bunga. Ini disebabkan telinga mereka sering terkena pukulan dan geseran yang kuat semasa bertanding.

Gumpalan darah kecil mula terbentuk setiap kali pukulan kuat mengenai telinga, terbentuk di antara tisu penghubung telinga dan tulang rawan.

Gumpalan tersebut menghentikan aliran darah ke tulang rawan, merosakkan tisu dan menyebabkannya mati. Proses penyembuhan diri kemudian membentuk tisu yang lebih keras, menghasilkan telinga yang kelihatan seperti kubis bunga.

Tanda-tanda awal yang menunjukkan individu mungkin terkena telinga kubis bunga termasuklah pembengkakan telinga, kemerahan, atau lebam disebabkan aliran darah terhalang.

Adakah pejuang MMA suka memiliki telinga cauliflower?

Walaupun terdengar aneh, pejuang MMA sebenarnya menggemari telinga kubis bunga. Sesetengah dari mereka sanggup berjuang habis-habisan untuk mendapatkannya.

Ia telah menjadi suatu tren di kalangan mereka, dengan pandangan bahawa telinga kubis bunga menunjukkan kuasa dan keberanian dalam pertarungan.

Seperti yang disebutkan, individu yang mempunyai telinga kubis bunga biasanya digeruni dalam dunia pertarungan bela diri.

Mungkin itulah sebabnya ramai pejuang MMA berusaha untuk menyimpan telinga kubis bunga mereka, seperti Randy Couture dan Khabib Nurmagomedov, bekas juara UFC.

Cara terbaik untuk mencegah telinga kubis bunga?

Bagi mereka yang ingin mengelakkan telinga kubis bunga, disarankan untuk menggunakan pelindung kepala atau penutup telinga semasa berlatih. Pastikan pelindung kepala yang dipilih sesuai dengan saiz kepala untuk mengelakkan perubahan bentuk telinga.

Pelindung kepala yang terlalu ketat atau longgar mungkin tidak memberikan perlindungan yang baik semasa latihan. Untuk itu, pastikan memilih yang sesuai agar tidak hanya berfungsi dengan baik, tetapi juga selesa digunakan.

Namun demikian, telinga kubis bunga boleh menjadi kecacatan kekal jika tidak mendapat rawatan yang tepat pada masanya.

Sekiranya terdapat tanda-tanda panas dan kesakitan pada bahagian telinga, segera dapatkan rawatan atau letakkan ais untuk mengurangkan pembengkakan.

BACA: Padah pakai logo ‘Myvi’ pada kereta Saga, wanita ini kena saman RM300 di pam minyak!