Pernahkah anda mengalami sakit perut selepas minum teh ais atau teh tarik?
Jika ya, kemungkinan anda mengalami keadaan yang dikenali sebagai intoleransi laktosa. Apakah itu?
Intoleransi laktosa adalah keadaan di mana badan anda tidak dapat menyerap laktosa, iaitu sejenis gula yang terdapat secara eksklusif di dalam susu dan produk tenusu.
Badan anda hanya mampu menyerap gula dalam bentuk yang lebih mudah iaitu glukosa atau galaktosa.
Untuk mencerna laktosa tersebut, badan memerlukan sejenis enzim yang dikenali sebagai laktase.
Bagi mereka yang mengalami intoleransi laktosa, enzim ini biasanya berada pada kadar yang rendah.
Oleh itu, badan tidak mampu mencerna laktosa dengan baik dan gagal menyerapnya.
Bagaimana untuk mengetahui jika anda mungkin mengalami intoleransi laktosa? Perhatikan 7 tanda berikut:
-Sakit perut
-Kembung
-Cirit-birit berair
-Sendawa berlebihan
-Perut berangin
-Rasa loya
-Gatal-gatal di sekitar dubur
Semua tanda di atas biasanya muncul dalam tempoh 30 minit hingga 2 jam selepas mengambil susu atau produk tenusu. Contohnya, minuman seperti teh tarik, susu coklat, atau gula-gula coklat yang mengandungi susu.
Jangan keliru dengan alahan kepada susu lembu, yang disebabkan oleh tindak balas imun badan terhadap protein dalam susu lembu, bukan kekurangan enzim laktase.
Jika anda disahkan menghidapi intoleransi laktosa, tidak perlu risau kerana ia bukanlah keadaan yang serius.
Anda hanya perlu berhati-hati dengan pemakanan dan mengelakkan pengambilan susu serta produk tenusu.
Walaupun mungkin sukar pada awalnya, namun seiring masa, anda akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah.