Kenapa orang politik simpan duit tunai di rumah? Sekali bekas Ketua Polis Negara buka cerita.
Pernahkah anda mempunyai kenangan menyimpan wang di rumah, menyembunyikan helaian ringgit di bawah bantal di dalam almari pakaian atau di mana sahaja ceruk rumah yang difikirkan selamat?
Kalau anda tidak pernah melakukannya, cuba tanya ibu bapa atau datuk nenek anda, hampir pasti mereka akan berkata ya.
Amalan yang dahulunya satu kelaziman itu mungkin tidak lagi popular berikutan wujudnya pelbagai institusi kewangan yang menawarkan khidmat penyimpanan wang yang lebih selamat dan terjamin selain berpeluang mendapat pulangan seperti dividen dan sebagainya.
Namun, tidak dinafikan masih ramai yang memilih cara penyimpanan konvensional di rumah.
Menurut Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir, dahulu orang yang menyimpan wang di rumah sebenarnya menanggung risiko keselamatan seperti wang hilang sekiranya rumah dimasuki pencuri, berlaku kebakaran ataupun bencana seperti banjir.
“Namun, setelah wujud institusi perbankan, masih ramai yang menyimpan wang masing-masing di rumah kerana bimbang wang mereka lesap daripada bank.
“Insiden seperti kehilangan wang daripada akaun bank secara tiba-tiba menyebabkan ada pihak yang berasakan lebih selamat menyimpan di rumah berbanding di bank,” kata Shamsuddin kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, amalan menyimpan wang di rumah tidak terhad kepada orang biasa malah ahli politik juga dikatakan menyimpan wang di rumah atas beberapa sebab.
Shamsuddin berkata, ahli politik yang bergelar wakil rakyat, misalnya, menyimpan wang di rumah kerana kebiasaannya rakyat akan datang meminta bantuan di rumah atau di mana sahaja tanpa mengira masa.
“Ramai yang datang bertemu wakil rakyat untuk meminta bantuan kewangan, anak mahu masuk asrama, minta bantuan Yang Berhormat (YB), mahu bina kemudahan, selain berjumpa dengan YB. Kebiasaan ini menyebabkan mereka harus mempunyai akses mudah kepada wang tunai.
“Perkara ini menyebabkan sebahagian ahli politik menyimpan sejumlah wang tunai untuk memudahkan dan mempercepatkan urusan,” katanya.
Namun, Shamsuddin berkata, rakyat seharusnya mengikuti saluran yang betul apabila mahu memohon bantuan bagi mengelakkan timbul isu seperti ketidaktelusan dan sebagainya.
“Gunakanlah saluran sedia ada seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) demi memastikan ketelusan dalam transaksi,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Shamsuddin mencadangkan agar konsep seperti e-money diperluaskan dengan pemantauan pihak berkuasa.
“Dengan konsep seperti e-money ini, ahli politik tidak lagi perlu menyimpan sejumlah wang yang banyak di rumah dan pada masa sama dapat membantu mengurangkan isu seperti rasuah.
“Segala transaksi akan menjadi lebih telus dan sekiranya terdapat elemen ketidaktelusan, proses tracing atau pengesanan boleh dilakukan untuk mengesan punca masalah,” katanya.
Sembunyikan transaksi
Shamsuddin menambah, sesetengah pihak termasuk ahli politik dan ahli perniagaan memilih untuk menyimpan wang di rumah kerana tidak mahu status kewangan mereka diketahui.
“Ini kerana meskipun dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP), namun masih ada yang berasa bimbang sekiranya berlaku kebocoran data di bank dan status kewangan mereka diketahui,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, antara sebab utama mengapa ahli politik memilih untuk menyimpan wang di rumah berbanding di bank adalah untuk mengelakkan soal jawab berhubung kewangan mereka.
“Sebarang transaksi melebihi RM25,000 di mana-mana institusi kewangan perlu dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan sumber kewangan terbabit akan disoal siasat, jadi adalah lebih mudah sekiranya ahli politik menyimpan wang di rumah,” katanya.
Musa turut menegaskan perlunya undang-undang mewajibkan ahli-ahli politik membuat deklarasi berhubung status dan sumber kewangan parti politik mereka.
“Kalau mahu ketelusan dan integriti, awal-awal lagi ahli-ahli politik ini perlu membuat deklarasi, sekiranya tidak berbuat demikian maka akan timbul pelbagai isu antaranya dari mana datang sumber kewangan terbabit,” kata bekas Ketua Polis Negara yang kelapan itu.
Beliau turut menambah, sumber kewangan itu juga ada datangnya daripada sindiket-sindiket kegiatan haram untuk mendapat perlindungan politik bagi menjalankan kegiatan mereka.
Kisah ahli politik menyimpan wang dan kekayaan di rumah turut berlaku di luar negara, antaranya pada tahun lalu, sejumlah besar wang tunai ditemui di kediaman bekas Presiden Sudan, Omar al-Bashir selepas beliau digulingkan pada bulan April.
Lebih AS$113 juta (RM472 juta) dalam tiga mata wang berbeza dirampas ketika serbuan di rumah bekas presiden yang memerintah Sudan selama tiga dekad itu. Beliau yang berdepan tuduhan rasuah kini dipenjarakan.
Sementara itu, kisah bekas Presiden ke-10 Filipina, Ferdinand Marcos yang terkenal dengan pemerintahan diktator yang dicemari rasuah, keganasan dan juga gaya hidup mewah turut menarik perhatian.
Isteri Ferdinand, Imelda Marcos juga tidak kurang hebatnya, ketika beliau melarikan diri dari Istana Malacanang di Manila bersama suaminya pada 26 Februari 1986, wanita terbabit meninggalkan peti simpanan peribadi penuh berisi barangan kemas terdiri daripada batu permata, perhiasan emas dan kepingan wang emas, tidak ketinggalan ribuan pasang kasut, baju dan beg berjenama.
BACA:
“Pandai adik ini buat orang tergelak”, rupa-rupanya bapa dia orang lama dalam dunia komedi