Keluarga Altantuya menang saman kerajaan RM5 juta. Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membenarkan saman yang difailkan keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu berhubung kematian wanita itu pada 2006 lalu, terhadap empat defendan termasuk kerajaan Malaysia.
Hakim, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya memutuskan demikian ketika prosiding dijalankan menerusi aplikasi Zoom.
Ketika membaca keputusan penghakimannya, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati keluarga model Mongolia selaku plaintif pertama hingga ketiga, berjaya membuktikan kes mereka terhadap defendan kedua dan ketiga.
“Berdasarkan fakta dan undang-undang, kerajaan selaku defendan keempat merupakan majikan kepada defendan pertama dan kedua, bertanggungjawab terhadap tindakan mereka yang mencabuli undang-undang.
“Mereka telah menjalankan tugas sebagai pegawai polis, telah menggunakan sumber yang disediakan oleh Polis Diraja Malaysia dan penghakiman dibuat atas liabiliti terhadap keempat-empat defendan,” katanya.
Menyentuh ganti rugi yang dimohon pihak plaintif sebanyak RM100 juta, beliau berkata, jumlah itu adalah berlebihan dan tidak boleh ditakrifkan berdasarkan prinsip sahaja.
Menurutnya, RM5 juta adalah adil dan memadai untuk diberikan sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan.
Hakim turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM25,000 dibayar kepada setiap plaintif.
Bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 yang mendakwa kematian model itu menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.
Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan masing-masing defendan pertama hingga keempat.
Bagaimanapun nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.
Seramai 26 saksi plaintif termasuk bapa serta anak sulung Altantuya memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula pada 2019 manakala defendan iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Abdul Razak memilih untuk tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman itu.