Hamzah bagaimanapun tidak mengetahui identiti pemimpin Bersatu yang dikatakan sering mengunjungi Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk tujuan rundingan.
Dakwanya, pemimpin utama lain dalam parti tersebut juga tidak mengakui terlibat atau pernah melakukan tindakan sedemikian, menurut laporan Malaysia Gazette.
“Siapa dia (pemimpin kanan Bersatu yang bertemu dengan Anwar)? Mana saya nak tahu ini fitnah ke, palsu ke?
Dakwaan orang bahawa saya (merisik jawatan) adalah palsu.
“Saya ingin maklumkan bahawa saya tidak pernah berjumpa Anwar Ibrahim sejak dia menjadi Perdana Menteri (untuk meminta jawatan).
Terjumpa di Parlimen itu, adalah,” katanya seperti yang dipetik dalam laporan Malaysia Gazette.
Hamzah juga menafikan dakwaan bahawa ada kalangan ahli Parlimen Bersatu mencuba untuk merisik jawatan dalam kerajaan seperti yang dihebohkan.
Malah, mereka yang dituduh turut bersumpah dengan nama Allah untuk menafikan dakwaan tersebut dalam satu Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu baru-baru ini.
“Inilah dia, saya nak beritahu. Dalam mesyuarat MPT Bersatu yang baru ini, semua mereka yang dituduh itu bersumpah wallahi tidak pernah bertemu Anwar Ibrahim. Jadi, tidak ada lah kot,” ulasnya.
Hamzah dilaporkan berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Ketua-Ketua Jawatankuasa Portfolio Dewan Rakyat Ke-15 PN di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan bahawa seorang pemimpin utama Bersatu sering mengunjungi PMO demi ‘kelangsungan’ beberapa pemimpin tertentu menjelang pemilihan parti.
Sumber yang enggan dinamakan itu mendakwa lebih ramai wakil rakyat Bersatu dijangka akan mengisytiharkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri.
BACA: Anak-anak GISBH berdepan risiko ‘wati syubhah’, ini maksud ‘wati syubhah’