Selain mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh majikan, sesetengah tempat kerja turut mengamalkan budaya tidak rasmi yang disesuaikan dengan tradisi atau kebiasaan tertentu.
Salah satu budaya yang sering diamalkan ialah meminta pekerja baharu untuk membelanjakan sebahagian daripada gaji pertama mereka untuk rakan-rakan sepejabat.
Jika terdapat lebih daripada seorang pekerja baharu, kos tersebut biasanya akan dikongsi bersama.
Namun, bagi mereka yang bersendirian, beban itu boleh menjadi berat.
Budaya yang memaksa pekerja baharu belanja gaji pertama dianggap tidak sihat
Tindakan staf senior yang mendesak pekerja baharu membelanjakan gaji pertama mereka bukanlah amalan yang wajar.
Hal ini mendapat perhatian seorang wanita yang meluahkan rasa kurang senangnya apabila melihat rakan sekerja baharu diminta membelikan minuman daripada sebuah francais popular dalam kuantiti yang besar.
“Kesian tengok rakan pejabat baru ni,” katanya menerusi media sosial. “Hari pertama dapat gaji, tapi makcik-makcik pejabat ni dah minta belanja. Mereka kata, ‘gaji pertama kenalah belanja kami, sekurang-kurangnya Tealive seorang satu’. Dah kenapa paksa orang belikan?”
Wanita tersebut menambah, lelaki yang diminta membelanja itu kelihatan seperti bukan daripada keluarga yang senang, memandangkan tali jam tangannya sudah lusuh. Dia bersimpati memikirkan kemungkinan lelaki itu mempunyai tanggungan besar, termasuk membantu keluarga.
Reaksi netizen: Normalisasi budaya memaksa perlu dihentikan
Luahan wanita itu mendapat sokongan daripada netizen yang bersetuju bahawa budaya tersebut tidak sihat, malah ada yang menyamakan ia dengan tindakan membuli secara halus.
“Jangan normalisasikan sesuatu yang boleh dianggap sebagai buli. Berkat gaji pertama lebih baik diberikan kepada keluarga yang memerlukan, bukannya rakan sekerja. Kalau dia nak belanja, biarlah itu keputusan dia sendiri,” komen seorang pengguna.
Ada juga yang berkongsi pengalaman serupa:
“Dulu masa kerja kilang, dapat bonus RM2,000. Kawan paksa belanja KFC sedangkan saya tengah struggle nak belikan komputer untuk adik yang belajar di maktab perguruan,” tulis seorang netizen.
“Saya pun pernah kena. Tapi saya belanja hanya seorang rakan yang banyak membantu saya. Yang lain, saya kata mungkin ada rezeki lain saya akan belanja. Jangan jadikan ini budaya. Setiap orang ada tanggungan dan keutamaan sendiri,” tambah pengguna lain.
Kesimpulan: Hentikan budaya yang tidak adil
Budaya memaksa pekerja baharu membelanjakan gaji pertama mereka perlu dihentikan. Sebaliknya, tempat kerja seharusnya menjadi ruang yang menyokong dan memahami keperluan individu, terutama bagi mereka yang baru memulakan langkah dalam dunia pekerjaan.
BACA: “Stress murid lebih penting. Diambil maklum” Kementerian Pendidikan abai kesihatan mental guru?