Penduduk di bandar Kemerovo, Siberia, Rusia, terkejut apabila air sungai di kawasan tersebut bertukar menjadi merah seperti darah baru-baru ini, lapor akhbar The Sun.
Beberapa penduduk melaporkan bahawa tiada haiwan yang berani menghampiri sungai tersebut, yang menimbulkan kebimbangan bahawa air sungai itu mungkin beracun.
“Warna air sungai ini kelihatan seperti sup borscht (sup tempatan yang dibuat daripada ubi bit merah)
Dan mungkin lebih berbahaya daripada yang kami sangka,” kata seorang penduduk.
“Sungai ini kini lebih mirip jeli kranberi daripada sungai sebenar,” tambah Elena Dubrovskaya, seorang lagi penduduk.
Timbalan Gabenor Kemerovo, Andrei Panov, berkata pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian tersebut selepas menerima aduan daripada penduduk.
Beliau menjelaskan bahawa perubahan warna sungai mungkin disebabkan oleh air yang tidak mengalir, tetapi bahan kimia yang menyebabkan perubahan warna masih belum dikenal pasti.
“Sistem pengaliran air di bandar ini yang tersumbat dipercayai menjadi punca pencemaran sungai tersebut. Polis telah diarahkan untuk mencari pihak yang bertanggungjawab atas kejadian ini, dan mereka yang bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Sehingga kini, pihak berkuasa belum dapat menentukan sama ada air tersebut berisiko menimbulkan masalah kesihatan kepada penduduk bandar tersebut.