Kecewa ditipu hidup-hidup wanita terkejut peniaga disangka OKU heret kerusi roda sendiri

Oleh ZAKARIA HAMZAH

“Tipah tertipu!”, itulah kekesalan diluahkan oleh seorang wanita apabila mendapati peniaga Orang Kurang Upaya (OKU) yang dibantu rupanya sempurna sifatnya.

Sedangkan pada minggu lalu, wanita yang dikenali sebagai Eja itu telah membeli dua paket rendang daripada peniaga kononnya berkerusi roda itu di atas dasar simpati.

Menurut Eja, peniaga itu datang ke sekitar kawasan perumahannya dengan menaiki kerusi roda untuk menjual rendang sejuk beku yang berharga RM25 setiap paket.

Wanita berkenaan bagaimanapun merasa tertipu apabila mendapati kualiti dan kuantiti daging tersebut langsung tidak setara dengan harga yang dijual oleh peniaga OKU itu.

“Minggu lepas, abang ini berjualan pakai kerusi roda konon-konon kakinya cacat dan tak boleh bergerak dekat kawasan taman. Kakak belilah rendang daging dua paket.

Kecewa ditipu hidup-hidup wanita terkejut peniaga disangka OKU heret kerusi roda sendiri

“Dia datang depan rumah, jerit-jerit tengah panas. Kita kasihan, sebab OKU. Walau dalam hati tak nak beli, tetapi ambil jugalah. Niat nak bantu. Harganya RM25. Dia gerak dari taman ke taman.

“Kuantiti rendangnya, hanya dapat seketul daging yang bersaiz dua ibu jari sahaja untuk satu paket. Dua paket, dapatlah dua ketul kecil. Sudah, tipah tertipu. Rasa kena scam masa itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Namun apa yang lebih mengecewakan, Eja merasa sekali lagi tertipu selepas melihat peniaga sama boleh berjalan tanpa menggunakan kerusi roda dan kelihatan sempurna sifatnya.

Eja turut berkongsi satu rakaman memaparkan seorang lelaki berkopiah dipercayai peniaga terbabit sedang gigih memasukkan kerusi roda ke dalam but kereta miliknya.

“Hari ini, di depan mata tengok orang cacat yang sama itu berdiri. Siap angkat barang masukkan ke dalam kereta. Sebelum itu, elok sahaja dia naik kerusi roda berjualan dari kedai ke kedai. Sudah dua kali kena scam.

“Modus operandi. Konon-konon cacat mahu raih simpati untuk orang membeli. Meniagalah elok-elok. Rendang itu buat lekat-lekat dekat gigi sahaja tetapi harganya RM25. Tipah tertipu,” kesalnya.

Tidak hanya merasa kecewa kerana duitnya ‘melayang’, Eja juga berpendapat bahawa tindakan lelaki itu boleh merosakkan imej golongan OKU terutamanya mereka yang berniaga.

“Kasihanlah dekat mereka yang betul-betul cacat, terpalit sama. Menjual dengan cara macam ini, berkat ke tidak? Tak tahulah. Ini juga menjadi peringatan untuk diri sendiri.” Ujarnya dalam hantaran sama.

Berdasarkan tinjauan di ruangan komen, peniaga terbabit difahamkan menjalankan operasinya di sekitar Negeri Sembilan berikutan ramai penduduk di situ mengakui turut menjadi mangsa.

Baca juga: “Aku setuju jadi isteri kedua pensyarah tapi semestinya aku tak nak mak tahu, aku cuma beritahu ayah”