Keahlian Bersatu dibuka untuk bukan melayu, bukan Islam

Keahlian Bersatu dibuka untuk bukan melayu, bukan Islam

Keahlian Bersatu yang akan dibuka kepada bukan Islam membuktikan parti itu bersifat berbilang bangsa dan kaum.

Setiausaha Bersatu negeri Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia selaras dengan Perlembagaan negara Perkara 3 iaitu Islam sebagai agama Persekutuan manakala penganut agama lain bebas mengamalkan anutan masing-masing.

Menurutnya, Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kali Ke-4 yang berlangsung hari ini, meluluskan usul keahlian bukan Islam dan bukan Melayu bagi menganggotai sayap ketiga parti itu, Sayap Bersekutu.

“Kelulusan pindaan yang diputuskan hari ini diumumkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 500 perwakilan yang bermesyuarat di 14 lokasi serentak di seluruh negara secara maya dan disiarkan di Facebook parti itu.

“Pindaan perlembagaan akan dibuat segera. Jadi akan ada sayap ketiga iaitu Sayap Bersekutu. Bersatu kini menyerlahkan DNA sebenar sebagai parti yang progresif dengan melaksanakan cara dan kaedah yang sangat berterus terang.

“Bersatu bakal menerima keanggotaan bukan Melayu dan bukan Islam,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Armada Negeri Pahang yang juga Ketua Armada Bahagian Bentong Nurul Qomar Abdol Talib.

Dalam perkembangan lain beliau berharap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dapat menyahut secara rasmi seruan Muhyiddin yang juga Perdana Menteri Malaysia untuk menghimpunkan tiga parti besar Melayu, Bersatu, Pas dan UMNO dalam Perikatan Nasional.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/112402/BERITA/Politik/Bersatu-lulus-usul-keahlian-bukan-Islam

COMMENTS