Keadaan rumah Mat Kilau terkini jadi tanda tanya, penuh semak. Ketika nama Mat Kilau menjadi sebutan susulan tayangan filem arahan Syamsul Yusof bertajuk Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, hakikatnya tapak rumah pahlawan berkenaan terbiar dan dipenuhi semak samun.
Tinjauan Kosmo! mendapati hanya terdapat papan tanda tertulis sejarah pahlawan berkenaan masih teguh, manakala rumah Mat Kilau juga telah tiada di sebalik semak samun yang memenuhi tapak rumah itu.
Ketua Kampung Kedondong, Mohd. Rozi Rozuki berkata, tapak itu sudah lama terbiar dan sehingga kini belum ada tanda-tanda untuk dipelihara.
“Kami menyokong jika ada usaha untuk membina semula kediaman berkenaan berdasarkan reka bentuk asal rumah lama.
“Malah, lebih elok kediaman pahlawan Melayu Pahang ini dibina di sini iaitu tapak asal rumah Aki (Mat Kilau) kerana berdekatan dengan Sungai Pahang dan kuburnya juga terletak di kampung ini.
“Kawasan tapak asal rumah Mat Kilau ini juga berdekatan dari bandar Jerantut ke Bukit Nikmat yang mudah dikunjungi pengunjung,” katanya.
Menurut Mohd. Rozi, tapak asal itu cukup bersejarah kerana di situlah Mat Kilau tinggal dan dijaga anak beliau selepas muncul di tengah masyarakat kampung tersebut pada 1969.
Mat Kilau yang meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 dikebumikan di kampung berkenaan.
Dalam pada itu, jelas Mohd. Rozi, dalam masa terdekat ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berhasrat untuk membersihkan tapak asal rumah kelahiran Mat Kilau yang kini dipenuhi semak-samun dan juga membaik pulih pagar makam Mat Kilau di kampung berkenaan.
“Kami penduduk di sini sudah lama menunggu pembinaan semula rumah Mat Kilau sebelum penerbitan filem kerana berpotensi sebagai destinasi pelancongan sejarah.
“Malah ia berdekatan dengan Galeri Mat Kilau yang terletak di Bukit Rang, tidak jauh dari sini,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, semua waris Mat Kilau yang masih menetap di Kampung Kedondong menyokong hasrat kerajaan negeri supaya artifak sejarah tokoh kepahlawanan Melayu Pahang itu dapat dilihat seterusnya dihayati generasi akan datang.
BACA:
Penerbit Mat Kilau bagi bonus lumayan
Khalid Samad belanja 180 orang Shah Alam tonton Mat Kilau
Rupanya ada versi asal filem Mat Kilau tapi tak jadi, ‘Shuk Sahar jadi Mat apa?’