Kantoi buat tuntutan palsu babitkan nilai RM38.4 juta di Majlis Sukan Negara, bekas pegawai KBS dipenjara 15 tahun
Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd dihukum penjara 15 tahun
Dan didenda RM284.2 juta oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas 32 tuduhan rasuah dan 64 tuduhan pengubahan wang haram.
Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mendapati Otman bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan yang dilakukan sejak tahun 2012.
Kamarudin membuat keputusan itu selepas memutuskan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, di akhir pembelaan.
Bagaimanapun, Kamarudin membenarkan Otman yang diwakili peguam Rafique Rashid Ali menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan syarat wang jaminan ditambah RM300,000 dengan seorang penjamin.
Beliau juga mengarahkan barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk pelupusan tertakluk kepada rayuan dan permohonan dari mana-mana pihak.
Harta tertuduh dilucut hak kepada kerajaan
Mahkamah sementara itu membenarkan permohonan pendakwaan supaya semua harta dibenarkan dilucut hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 40(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Pada 31 Mac 2016, Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini antara 28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.
Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala 15 lagi pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.
Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Disember 2015.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal, Haresh Prakash Somiah dan Harris Ong Mohd Jeffery Ong.
BACA:
Tak sangka! Rupanya bakar Al-Quran di Russia dianggap sebagai jenayah