‘Kami bukan pendatang, kenapa mereka yang menjual syabu di pekan ini tidak diserbu?’

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Bagi Sitti Bandorah Mahalil, suatu ketika dahulu, beliau amat berbangga dengan seragam yang dikenakan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini kerana, suaminya, Sarjan Abd Azis Sarikon, merupakan salah seorang anggota yang pernah memakai seragam tersebut

Dan terkorban semasa mempertahankan negara pada tahun 2013 daripada pencerobohan tentera Sulu.

Allahyarham Sarjan Abd Azis Sarikon adalah antara enam anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap oleh pengganas bersenjata di Kampung Simunul, Semporna.

Namun, selepas 11 tahun berlalu, Sitti Bandorah dan anak-anaknya kini pula menjadi mangsa pencerobohan — kali ini oleh pihak berkuasa negeri yang pernah diperjuangkan oleh wira tersebut.

'Kami bukan pendatang, kenapa mereka yang menjual syabu di pekan ini tidak diserbu?'

Rumah keluarga Sitti di Kampung Alab, sebuah perkampungan air di Pulau Bodgaya, Semporna, kini menjadi sasaran untuk dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Menurut Sitti, anggota dari pelbagai agensi, termasuk polis dan Taman Sabah, datang ke kampung mereka semalam dan mengarahkan penduduk supaya mengosongkan rumah masing-masing.

Namun, keluarga Sitti bersama penduduk lain enggan berganjak sehinggalah mereka diancam dengan tangkapan.

“Dia cakap sekarang kamu kemas-kemas, rumah akan dirobohkan.

“Saya cakap, apa hukumnya kalau saya melarang, kalau saya bertegas jangan dirobohkan rumah kami, dia cakap kamu akan ditangkap dan dibawa ke balai.

“Namun selepas kami kemas-kemas, mereka mengatakan mereka akan kembali dan memotong rumah kami,” kata Sitti.

Menurut notis dari Taman-Taman Sabah yang diberikan kepada penduduk, rumah-rumah tersebut didakwa telah menceroboh kawasan Taman Marin Tun Sakaran. Namun, ramai penduduk, termasuk Sitti yang kini berusia 51 tahun, mendakwa mereka telah menetap di situ selama beberapa dekad.

Walaupun pihak berkuasa tidak meneruskan perobohan semalam, Sitti mendakwa mereka telah menebang sekitar 20 pokok mangga di kawasan tersebut.

Pagi tadi, pihak berkuasa kembali ke kampung itu sekitar jam 7 pagi dengan lebih ramai anggota, termasuk pasukan polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA), unit yang pernah disertai oleh suami arwah.

“Bangga Saya Hilang, Hati Saya Hancur”

Sitti meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa beberapa anggota bersikap kasar terhadap keluarganya kerana enggan mengosongkan rumah mereka.

“Dia kata jangan banyak cakap. Jangan siapa-siapa bergerak, kamu diamlah!

“Saya sangat kecewa. Dalam hati saya menangis. Dulu, saya sangat bangga dengan PDRM. Saya bangga sangat.

“Sampaikan saya suruh anak-anak saya untuk masuk PDRM. Walaupun saya masih bersedih dengan kematian suami saya, saya tetap bangga dengan PDRM.

“Saya fikir mereka adalah penjaga keamanan. Tapi rupanya tidak,” katanya.

“Kenapa Fokus Pada Kami, Bukan Penjenayah?”

Ibu tunggal ini juga mempersoalkan mengapa pihak berkuasa mahu mengusir penduduk kampung tempatan sedangkan mereka adalah rakyat Malaysia.

Sitti turut mengkritik tindakan pihak berkuasa yang lebih fokus kepada perobohan rumah penduduk daripada menangani jenayah di Semporna.

“Kami tinggal di rumah kami, rumah kami mahu dirobohkan. Hasil kebun kami ditebang.

“Sedangkan kami orang Malaysia. Kami bukan pendatang. Kenapa mereka yang menjual minyak petrol, rokok, dan syabu di pekan ini tidak diserbu?

“Kenapa kami yang duduk aman di kampung, mereka buat macam ini kepada kami?” soal Sitti.

“Jadi saya cakap, saya benci dengan PDRM.”

BACA” :“Bila giliran saya, suami mengadu hal madu, dia ingat saya nak dengar, siapa suruh dia cari penyakit”