Kalau mohon maaf kepada Khairy sebut sekali penduduk di Kuala Langat, tegur Lando kepada JKR

Kalau mohon maaf kepada Khairy sebut sekali penduduk di Kuala Langat, tegur Lando kepada JKR

Seorang aktivis mempersoalkan kenapa Jabatan Kerja Raya memohon maaf kepada Khairy Jamaluddin tetapi mengambil mudah nasib ratusan pengguna yang cedera atau mati kerana terlanggar lubang jalan.

Azlan Sani Zawawi, atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi, berkata JKR sepatutnya meminta maaf kepada semua pengguna, khususnya penduduk Kuala Langat, kerana sudah “bertahun-tahun” menghadapi masalah jalan rosak.

“Bila kes melibatkan menteri terus mereka ambil tindakan dan selesaikan isu jalan berlubang,” katanya kepada FMT, menarik perhatian kepada apa dikatakan sikap “dwi-standard” jabatan itu.

“Memang baik mohon maaf, tapi biarlah adil. Kalau mohon maaf kepada Khairy sebut sekali penduduk di Kuala Langat.”

Semalam, JKR bingkas memohon maaf kepada Khairy atas kecederaan ringan yang dialaminya semasa menunggang basikal apabila terlanggar lubang jalan di Banting.

Lando dan kumpulannya, Ikatan Silaturahim Brotherhood, lantang menegur pihak berkuasa tentang isu jalan rosak, termasuk mengeluarkan belanja sendiri untuk menurap lubang terbiar di kawasan tertentu yang perlu dan membahayakan.

Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Lee Lam Thye, berkata tindakan pihak berkuasa harus berlaku adil kepada orang biasa.

“Hakikatnya setiap hari begitu ramai pengguna jalan raya, baik pengguna motosikal dan lain-lain menjadi mangsa jalan berlubang,” katanya, dan menambah beliau terima banyak aduan tentang pengguna cedera dan maut.

“Saya tidak dengar pihak berkuasa mohon maaf, mereka diam begitu sahaja. Ini yang orang marah.”

Bekas pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) ini berkata isu jalan berlubang bukanlah perkara baharu dan sentiasa berulang kerana penyelenggaraan jalan oleh pihak berkuasa tidak memuaskan.

“Ia berlaku kerana sikap pihak berkuasa tidak ambil isu ini sebagai masalah yang perlu diutamakan. Mereka tidak memikirkan budaya selamat. Apabila mereka buat kerja juga perlahan,” katanya.

Menyeru pihak berkuasa memperkenalkan dasar “sifar jalan berlubang” bagi mengurangkan kemalangan di seluruh negara, Lee menggesa kerajaan supaya jangan tunggu orang ramai buat aduan.

“Lagipun bila orang ramai buat aduan berbulan-bulan tidak ada tindakan diambil,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/28/langgar-lubang-jalan-rakyat-biasa-tak-layak-dapat-maaf-jkr-tanya-lando/