Pengarah Datuk Yusof Haslam menyatakan bahawa dirinya tidak menolak sekiranya Syamsul Yusof kembali berjodoh dengan Puteri Sarah.
Menurut pengarah berusia 70 tahun itu, dia sentiasa terbuka untuk menerima Puteri Sarah kembali
sebagai menantunya serta mendoakan yang terbaik untuk pelakon tersebut dan anak sulungnya.
“Mudah-mudahan Sarah mendapat jodoh, Syamsul mendapat jodohnya.
Kalau ditakdirkan mereka bersatu kembali pun, itu biarlah takdir yang menentukan.
“Saya doakan yang terbaik untuk mereka. Ramai yang berharap supaya mereka kembali bersama, tapi itu bukan sesuatu yang saya boleh ramalkan kerana ia adalah ketentuan Allah SWT,” katanya.
Datuk Yusof Haslam turut menyatakan bahawa hubungannya dengan Puteri Sarah tetap baik dan dia masih menganggap aktres itu sebagai menantunya walaupun Sarah tidak lagi bergelar isteri kepada Syamsul.
“Hubungan saya dengan Sarah sentiasa baik. Walaupun jika Sarah tidak berjodoh untuk kembali bersama Syamsul, saya masih anggap dia sebagai menantu kerana cucu saya adalah anak-anak Sarah dan Syamsul. Jadi, saya doakan yang terbaik untuk mereka berdua,” kongsinya lagi.
Terdahulu, isteri kepada Yusof Haslam, Datin Patimah Ismail, berkongsi satu hantaran di Instagram yang menunjukkan Syamsul kembali bersama keluarganya.
Apa yang lebih menarik perhatian adalah bekas isteri Syamsul, Puteri Sarah, turut kelihatan bersama dalam foto tersebut.