Juruwang hamil cedera ditumbuk pelanggan ‘baran’ sampai bengkak muka

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Seorang juruwang wanita di sebuah pasaraya mendakwa alami kecederaan di bawah mata selepas seorang pelanggan menumbuk mukanya di hadapan khalayak ramai.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Zuriani Mahmood di laman Facebook, dia yang sedang hamil memberitahu

Dia telah dikasari oleh pelanggan wanita selepas membuat bayaran di kaunter.

Juruwang hamil cedera ditumbuk pelanggan ‘baran’ sampai bengkak muka

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pada 9 Mac lalu ketika pelanggan wanita ingin memulangkan salah satu barangan yang dibelinya namun, diminta untuk tunggu sebentar kerana barangan tersebut telah masuk ke dalam sistem juruwang.

Namun, proses untuk membatalkan barang tersebut telah mengambil masa yang lama sehingga mengundang kemarahan wanita terbabit.

Secara tiba-tiba, pelanggan terbabit bertindak menumbuk mukanya di depan khalayak ramai sehingga menyebabkan kecederaan bengkak di bawah mata sebelah kiri.

Tindakan wanita itu turut dilihat oleh anak lelakinya dan suami, serta pelanggan lelaki yang sedang menunggu giliran untuk membuat pembayaran.

Susulan kejadian tersebut, Zuriani sudah membuat satu laporan polis kerana tidak berpuas hati terhadap wanita terbabit yang secara tidak langsung telah menjatuhkan maruahnya sebagai pekerja.

“Laporan sudah dibuat, tunggu tindakan daripada polis. Maruah aku tercalar ya sebagai seorang cashier bila pelanggan buat seperti ini di hadapan orang ramai.

“Sedangkan itu salah sendiri. Kalau setakat gaduh mulut, boleh terima lagi. Tapi kau siapa untuk naik tangan dekat muka aku?” ujarnya.

Malah, dia juga menjelaskan tidak tahu apa kesalahan yang dilakukan sehingga wanita terbabit bertindak sedemikian dan tidak akan memaafkan perbuatan suspek.

431107431 7245292728885673 1825167478031257674 N

“Aku tak tahu apa salah aku sedangkan aku dah terangkan, tapi kau tetiba melenting. Aku memang takkan maafkan orang macam ini ya! Aku tengah mengandung, kau sentuh-sentuh aku,” dakwanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa geram terhadap tindakan wanita terbabit yang dianggap kurang ajar dan meminta Zuriani supaya tidak menarik laporan untuk memberi pengajaran sewajarnya.

Dalam pada itu, netizen memuji juruwang tersebut yang bersikap profesional kerana terus melayan pelanggan seterusnya yang mahu membuat pembayaran.

Menerusi perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, laporan berhubung kejadian tersebut sedang disemak.

BACa: Usaha tak pernah khianati hasil, dulu ‘boss’ kini usahawan berjaya, pemuda raih pendapatan 5 angka