Berat dugaan pemuda ini apabila majlis perkahwinan yang dinanti-nantikannya berakhir sebagai majlis doa selamat.
Melalui beberapa video yang dikongsikan di akaun TikTok @DemFlacco, suasana sekitar majlis tersebut membuatkan
ramai warga maya sebak melihat pemuda itu dan ibunya tabah menyampaikan ucapan di hadapan tetamu untuk memaklumkan khabar duka tersebut.
“Perancangan asal adalah untuk mengadakan upacara akad nikah saya dan pasangan pada 27 September 2024, dan kenduri sebelah lelaki pada 28 September 2024.
“Namun, disebabkan isu tertentu, pihak perempuan memutuskan untuk membatalkan majlis.
“Saya sebenarnya memilih untuk memaafkan, tetapi tidak dapat memaksa apabila pihak sana telah membuat keputusan.
“Oleh kerana semua persiapan telah siap, dewan juga sudah dibayar sepenuhnya dan tidak akan dapat refund jika dibatalkan, keluarga saya berbincang dan akhirnya sepakat untuk meneruskan majlis tetapi ditukar kepada majlis doa selamat,” ujar pemuda berusia 23 tahun ini.
@ibumateenanaqi Replying to @Diana.Azmi ♬ original sound – ibumateenanaqi
Enggan berkongsi lebih lanjut mengenai isu yang menjadi punca pembatalan, Adam berkata pihak perempuan telah bertemu keluarganya pada 23 Ogos, iaitu kira-kira sebulan sebelum majlis perkahwinan, untuk memaklumkan keputusan mereka ‘menarik diri’.
“Mereka memulangkan cincin dan barangan tunang. Saya tidak pasti apa kekuatan yang Allah berikan, tetapi saya memilih untuk selamatkan (hubungan)… tidak kisahlah sebab apa, saya ingin memaafkan.
“Tetapi nampaknya tiada harapan. Sejujurnya, saya benar-benar hiba, tetapi perlahan-lahan saya sedar bahawa cinta kepada manusia bukanlah segalanya.
“Saya fikir, Allah ingin saya dekat dengan-Nya. Jadi, sepanjang sebulan menanti hari yang sepatutnya menjadi hari bahagia, saya lebih tenang,” ujarnya, sambil menambah bahawa perkenalan dengan wanita tersebut terjalin sejak 2022 sebelum bertunang pada bulan Februari lalu.
“Sejujurnya, saya mengalami trauma. Trauma untuk berkahwin, untuk mempercayai orang.”
Adam, yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik, berkata ramai tetamu yang hadir pada majlis tersebut juga tidak dapat menahan sebak apabila mengetahui pembatalan majlis perkahwinannya.
“Kami tidak memberitahu jemputan mengenai pembatalan lebih awal. Selain daripada persiapan yang telah dilakukan, salah satu sebab lain adalah ‘sukar untuk menjawab’… pasti banyak mesej masuk.
“Jadi, setelah sepakat untuk mengadakan majlis doa selamat, ibu saya telah menyediakan skripnya. Seperti yang dijangka, mereka terkejut kerana boleh dikatakan 90 peratus tetamu tidak tahu.
“Bila ibu sebak, tetamu turut sebak. Saya hanya berucap secara spontan. Ramai yang berkata saya nampak tenang… sebenarnya, sehari sebelumnya, saya telah ‘lepaskan’ semua,” ujarnya lagi.
Mengakui apa yang berlaku memberikan impak yang sangat besar kepada diri dan keluarga, Adam berkata ramai yang menyarankan agar mereka mengambil tindakan undang-undang.
“Kami enggan mengambil tindakan yang terburu-buru… buat masa ini, belum ada keputusan muktamad mengenai perkara itu.
“Bercakap mengenai trauma, sejujurnya ya, saya mengalami trauma. Trauma untuk berkahwin, untuk mempercayai orang. Buat masa ini, saya sedang dalam fasa untuk memulihkan semangat. Apa pun, saya tetap mendoakan yang terbaik untuk dia di mana jua dia berada.
“Saya telah belajar memaafkan. Siapa kita untuk tidak memaafkan orang lain?
“Buat mereka yang mendoakan saya dan keluarga, saya hanya mampu ucapkan terima kasih banyak-banyak. Saya sangat menghargainya. Tidak mampu untuk membalas setiap satu. Semoga kebaikan berbalik kepada mereka juga,” ujarnya di akhir.
BACA: ‘Rezeki yang tak disangka-sangka, warga emas terkejut ada RM 18k wang tak dituntut