‘Jangan pakai tayar spare..’ Ada tayar spare tapi tak boleh guna, sebab apa?

Oleh FAHMI ABBAS

Ketika memandu, kita jarang dapat menjangkakan masalah yang mungkin berlaku pada tayar kereta, seperti tayar bocor atau pecah di tengah jalan.

Biasanya, inilah saatnya kita akan mengeluarkan tayar ganti (spare) dari but kereta untuk menggantikan tayar yang rosak.

Untuk pengetahuan, setiap kereta dilengkapi dengan tayar ganti yang sering dipanggil tayar donut oleh para mekanik.

Bagi yang belum pernah melihat tayar ganti ini, cuba buka but kereta dan lihat ruang di bawah alas but.

Kebanyakan kereta hatchback dan sedan mempunyai ruang penyimpanan tayar ganti yang terletak di bawah alas but.

'Jangan pakai tayar spare..' Ada tayar spare tapi tak boleh guna, sebab apa?

Walaupun kita mungkin rasa masalah telah selesai setelah menggantikan tayar yang rosak dengan tayar ganti, ada beberapa bahaya dan risiko yang perlu diketahui tentang penggunaan tayar ganti.

Menurut video yang dikongsi di akaun TikTok Altimat Auto Garage, tayar ganti tidak sesuai untuk kegunaan harian. Mekanik di situ menjelaskan bahawa tayar ganti yang terdapat dalam but kereta tidak mempunyai saiz yang sama dengan tayar biasa.

Tayar ganti yang bersaiz kecil dan bersifat sementara ini mempunyai risiko jika digunakan untuk pemanduan harian dan pada kelajuan tinggi, kerana cengkaman tayar ini kurang berbanding tayar biasa. Sumber menyatakan bahawa tayar ganti bersaiz kecil disarankan untuk digunakan hanya sejauh 80 kilometer.

Jika anda memandu terlalu lama dengan tayar ganti, anda berisiko merosakkan bearing, brek, dan sistem gear.

Langkah berjaga-jaga untuk tayar ganti Sebagai langkah berjaga-jaga, berikut adalah empat perkara yang perlu anda lakukan untuk memastikan pemanduan anda selamat ketika menggunakan tayar ganti:

Periksa Tekanan Angin: Sentiasa periksa tekanan angin tayar ganti secara berkala, walaupun tidak digunakan. Tayar ganti sering kali tersembunyi dan mudah terlupa untuk diperiksa.

Jarak dan Masa: Berikan jarak dan masa yang lebih sebelum menekan brek.

Penggunaan tayar ganti boleh mengganggu fungsi sistem brek automatik (ABS) kereta anda dan boleh menyebabkan meter kelajuan tidak membaca kelajuan dengan tepat.

Cuaca Buruk: Lebih peka dan berhati-hati semasa memandu dalam cuaca buruk. Tayar ganti yang lebih kecil tidak mencengkam jalan dengan baik seperti tayar biasa.

Gantikan Bila Perlu: Gantikan tayar ganti apabila perlu. Kebanyakan tayar ganti mempunyai jangka hayat selama lapan tahun sahaja. Semak buku manual kereta anda atau lakukan pemeriksaan untuk mengetahui bila perlu menukar tayar ganti.

Walaupun tayar ganti disimpan dengan baik dan tidak digunakan, ia tetap perlu diganti apabila tiba masanya.

BACA: 60 tahun meniaga sate tak pernah basuh periuk resepi rahsia sate sentiasa sedap