Jangan jadikan alasan kutipan cukai sektor judi lumayan punca dibenarkan operasi, Pas tegur kerajaan

Jangan jadikan alasan kutipan cukai sektor judi lumayan punca dibenarkan operasi, Pas tegur kerajaan

Kerajaan diharap dapat membuat pertimbangan semula berhubung kebenaran beroperasi kepada semua operator perjudian berlesen berkuatkuasa Isnin lalu.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dalam situasi rakyat yang sedang tertekan akibat pandemik Covid-19, membenarkan aktiviti perjudian hanya akan menambah parah ke atas luka mereka.

“Sekali pun menurut semakan saya, hasil keseluruhan cukai judi yang dikutip oleh kerajaan agak lumayan di mana tahun 2019 (sehingga September), kerajaan mengutip cukai sebanyak RM2.72 bilion manakala tahun 2018 sebanyak RM2.018 bilion daripada aktiviti perjudian.

“Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan semula aktiviti ini dilaksanakan. Apatah lagi jika dibincangkan dari sudut keperluan dan keutamaan, aktiviti perjudian bukannya satu servis penting yang perlu disegerakan perkhidmatannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas menambah, kebenaran beroperasi itu juga dibimbangi hanya akan mencetuskan masalah sosial yang lain dan tidak berbaloi dengan cukai yang berjaya dikutip oleh kerajaan.

“Sudah tentu jika dilihat di dalam Islam sekalipun, ia merupakan dosa besar yang dibenci bahkan dalam semua agama utama di dunia juga judi dianggap perbuatan yang tidak bermoral.

“Saya menghantar nota ini juga kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membuat penilaian semula,” katanya.

Beliau turut yakin adanya ruang untuk kerajaan mempertimbangkan semula perkara berkenaan.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/124447/BERITA/Nasional/Pertimbang-semula-kebenaran-operasi-judi-berlesen-Pas