Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah melaporkan sebanyak 4,894 kes penyakit berjangkit yang berlaku
Di beberapa pusat pemindahan banjir (PPS) di seluruh negeri sepanjang musim tengkujuh ini.
Menurut Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, jumlah tersebut direkodkan sehingga semalam, 2 Disember.
Beliau memaklumkan bahawa jangkitan saluran pernafasan mencatatkan kes tertinggi dengan 2,923 kes, diikuti oleh jangkitan kulit yang merekodkan 1,367 kes.
Selain itu, kes Gastroenteritis Akut (keradangan perut dan usus) sebanyak 116 kes, Konjunktivitis (radang mata) sebanyak 99 kes, dan Demam Virus sebanyak 376 kes turut dilaporkan.
Dr Zaini berkata kebanyakan kes ini dilaporkan di pusat pemindahan banjir yang terletak di Pasir Mas, Machang, dan Tumpat. Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tiada penyakit serius yang dikesan dan keadaan keseluruhan masih terkawal.
“Semua kes penyakit berjangkit ini telah dirawat oleh pegawai kesihatan yang bertugas di pusat pemindahan banjir,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan SK Padang Pohon Tanjung hari ini.
Beliau turut hadir mengiringi lawatan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, yang mencemar duli ke PPS tersebut. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Baginda bertanya khabar 225 mangsa yang berlindung di PPS itu dan turut menyampaikan sumbangan bakul makanan serta wang tunai.
Mengulas lebih lanjut, Dr Zaini berkata pasukan kesihatan telah digerakkan ke pusat-pusat pemindahan banjir di seluruh negeri untuk memantau kesihatan mangsa yang dipindahkan.
“Pegawai kesihatan bersedia untuk memeriksa mangsa banjir, terutamanya mereka yang menunjukkan gejala, bagi mengelakkan penularan penyakit kepada individu lain,” tambahnya.
BACA: JKR senarai 13 lokasi jalan runtuh di negeri terjejas banjir ramai patut tahu